Orisahanif Enterprise

Pak Embong Jutawan Keropok

Mengenangkan kehidupannya yang miskin lebih 25 tahun lalu, siapa sangka beliau boleh menjadi jutawan hanya mengusahakan keropok.

Itulah pencapaian menakjubkan Taib Muda, 53, atau lebih dikenali sebagai Pak Embong yang tidak mengenal kegagalan atau putus asa dalam perniagaan bagi memastikan impiannya menjadi usahawan berjaya tercapai.

Bagi penggemar keropok kering dan lekor dari dalam dan luar Terengganu, produk Keropok Ori keluaran Pak Embong bukanlah asing kerana terkenal dengan keenakan dan keasliannya.

Pembabitan awal Pak Embong dari Kampung Kubang Bujuk, Serada, Kuala Terengganu, dalam bidang itu bermula pada 1985 apabila bertekad keluar daripada kepompong kemiskinan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau ketika itu yang bekerja sebagai buruh terpaksa menanggung tujuh anak dengan pendapatan tidak menentu.

“Bayangkanlah dengan gaji sebagai buruh yang tidak seberapa saya terpaksa menanggung ramai ahli keluarga hingga ada ketika mengikat perut semata-mata untuk memastikan anak cukup makan dan pakaian,” katanya yang kini Pengarah Urusan Orisahanif Enterprisetika.

Selepas berbincang bersama isterinya, Suri Ngah Taib, 40, yang setia mengharungi kesusahan dihadapi mereka, Pak Embong mendapat ilham untuk memulakan perniagaan keropok kering dan lekor secara kecil-kecilan.

Walaupun pernah ada kata-kata sinis dilemparkan kepada dirinya dan keluarga ketika memulakan perniagaan, ia dianggap sebagai asam garam dan pencetus semangat untuk terus berjaya.

Dengan bermodalkan RM200, beliau yang masih muda ketika itu membuang perasaan malu apabila sanggup mengayuh beca sejauh 25 kilometer setiap hari bagi mendapatkan bekalan ikan dari jeti Jabatan Perikanan di Pulau Kambing.

Menurutnya, keropok lekor yang siap diproses bersama isterinya itu dijual di sekitar kampung dan bandar Kuala Terengganu.

Rutin mengayuh beca dengan menjaja keropok berterusan lebih sepuluh tahun sebelum keuntungan yang dikumpul dijadikan modal untuk membuka kedai menjual makanan tradisi itu di Paka, Terengganu dan Johor Bharu, Johor pada 2001.

Bagaimanapun, perniagaan berkenaan diserahkan kepada rakan niaganya untuk diuruskan sebagai strategi memperkenalkan jenama Keropok Ori.

Walaupun terpaksa menempuh jatuh dan bangun, termasuk ditipu pada peringkat awal, ia bukan penghalang buat Pak Embong untuk terus bangkit memanfaatkan modal yang dikumpulkan untuk membuka kedai keropok di Kampung Losong Haji Su pada 2006 selain berniaga di pasar malam.

Ternyata usaha dan strateginya tidak sia-sia apabila keropok keluarannya menerima sambutan hangat, terutama daripada orang luar yang bertandang ke perkampungan berkenaan.

Menyedari potensi perniagaan terbabit untuk dikembangkan, Pak Embong berkata, beliau melebarkan sayap perniagaan dengan membuka empat lagi cawangan kedai keropok di Cameron Highlands, Pahang dan Gua Musang, Kelantan awal Januari lalu.

Kini operasi perniagaan keropoknya berjalan lancar dan semua cawangan berkenaan memberi pulangan seperti diharapkannya dengan purata keuntungan RM30,000 sebulan.

Keuntungan itu juga mampu mencecah RM100,000 sebulan pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Dengan memegang prinsip `di mana ada kemahuan di situ ada jalan’, beliau kini boleh berbangga kerana usahanya untuk keluar daripada kancah kemiskinan berjaya, malah mampu memperoleh pendapat lumayan hasil perniagaan keropok.

Pak Embong sekarang banyak menghabiskan masanya mengurus semua cawangan kedai keropoknya selain turun ke padang bertemu pelanggan.

Selain itu, bagi menampung permintaan tinggi bekalan keropok, beliau membuka pusat memproses yang berkemampuan menghasilkan satu tan keropok lekor dan kering setiap hari.

Walaupun hidup semakin mewah dengan hasil perniagaan keropok, Pak Embong tidak pernah melupakan kesusahan dilalui, terutama ketika terpaksa mengayuh beca untuk menjual keropok.

Malah, beliau sanggup menggunakan beberapa kereta mewah miliknya seperti Mitsubishi Evolution, BMW dan pacuan empat roda mengangkut isi ikan yang siap diproses dari pusat memproses sebelum dihantar ke kedainya.

Bagi Pak Embong, kejayaan diperoleh umpama mimpi daripada seorang buruh kini dirinya mampu memiliki kehidupan lebih baik berbanding ketika mula-mula menjalankan perniagaan berkenaan.

“Semuanya ini hasil daripada hasil doa selain keberkatan Tuhan terhadap usaha gigih saya untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

“Walaupun kejayaan ini tidak dikecapi dengan mudah, ia sebenarnya satu hikmah kepada saya supaya sentiasa menginsafi diri walaupun sudah berjaya,” katanya.

Ternyata, pelawat yang datang ke Terengganu menjadikan kedai Pak Embong sebagai destinasi persinggahan yang pasti untuk membeli keropok kering dan lekor.

“Kebiasaannya bas rombongan menjadikan kedai kami ini sebagai pelengkap lawatan mereka bagi mendapatkan keropok yang enak sebagai santapan pulang ke negeri mereka.

“Dengan harga munasabah dan dengan slogan 'Rasa Dulu Baru Beli' membuatkan pelanggan berasa selesa untuk mencuba sebelum membeli,” katanya.

Profil Usahawan Kreatif

Nama : Taib Muda
 
Umur : 53 Tahun
 
Asal : Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu
 
Jawatan : Pengarah Urusan Orisahanif Enterprise
 
Pendidikan : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Isteri : Suri@Ngah Taib

Tips Usahawan Kreatif

Bantu pemuda menganggur, ibu tunggal
“Tiada jalan pintas untuk berjaya, saya sentiasa mengingatkan anak bahawa kehidupan yang selesa kini hasil keperitan hidup dan mereka perlu sentiasa menyedarinya,” kata Taib Muda, 53, atau lebih dikenali sebagai Pak Embong.

Taukeh keropok yang berasal dari Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu itu, berkata kejayaan dikecapi kini mengubah tanggapan orang ramai terhadap perusahaan keropok lekor dan kering yang dianggap tidak menguntungkan.

Beliau menganggap tujuh anaknya Sarita, 24, Mohd Tasbit, 22, Mohd Shahrul, 20, Mohd Arif, 19, Norliana, 18, Mohd Firdaus, 13 dan Mohd Hanif , 6, pencetus kekuatan untuknya terus berusaha.

Pak Embong berbangga kerana tiga daripada anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi hasil titik peluhnya dalam perniagaan keropok.

Hasrat masa depannya untuk mengembangkan perusahaan keropok lekor Terengganu ke seluruh pelusuk tahan air, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, beliau mahu membantu golongan miskin dan anak muda yang menganggur untuk menjadi usahawan keropok.

"Saya juga mempunyai wawasan untuk melihat anak muda yang menganggur, ibu tunggal serta pelajar lepasan sekolah berkecimpung dalam bidang perusahaan keropok lekor kerana mampu meningkatkan pendapatan isi rumah serta mengatasi pengangguran.

"Niat saya adalah ingin membantu masyarakat, terutama yang berminat untuk berniaga, namun tidak mengetahui cara serta langkah sewajarnya yang perlu diambil bagi memulakan sesuatu operasi perusahaan keropok,” katanya ketika ditemui.

Ini akan dilakukan secara francais dan beliau akan memastikan keaslian produk terjamin mutunya serta halal dimakan.

Kata Pak Embong, beliau tidak lokek untuk berkongsi kemahiran kepada pengusaha baru.

Menurutnya, beliau terharu apabila terpilih sebagai penerima anugerah usahawan cemerlang oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), baru-baru ini.

Beliau turut berterima kasih kepada AIM, Mara, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang banyak membantunya untuk mengembangkan perniagaannya.

Petikan Metro Ahad

No comments: