Kaprima Livestock Sdn Bhd

Jasmin Usahawan Kreatif, Inovatif


Tempoh lima tahun mungkin singkat bagi sesetengah usahawan untuk membina nama, namun bagi Pengarah Urusan Kaprima Livestock Sdn Bhd, Jasmin Jasin, 50, masa sesingkat itu cukup bagi menobatkan dirinya antara Bumiputera yang ada kelas tersendiri.

Jasmin bukan saja layak digelar usahawan ternakan kambing berjaya, malah seorang yang kreatif dan inovatif dengan perniagaan yang kini menjadi contoh dan ikutan usahawan lain.

Beliau bukan hanya menternak kambing dengan jumlah pernah mencecah sehingga 1,500 ekor, tetapi turut menjalankan pelbagai aktiviti lain seperti tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, kolam ikan, chalet, penternakan cacing dan restoran Kaprioti Countryside yang menyajikan hidangan daging kambing segar.

Syarikatnya turut menjalankan kursus dan latihan kepada usahawan yang berminat menceburi bidang berkenaan, selain memproses baja daripada tahi kambing dengan nama Kaprima Bio.

Hasil usahanya membangunkan pelbagai cabang perniagaan itu, dalam tempoh empat tahun, Jasmin diiktiraf melalui penerimaan tiga anugerah, termasuk yang tertinggi Anugerah Peladang Jaya Kebangsaan dua tahun lalu.

Pasti terdetik di fikiran, bagaimana dalam tempoh singkat beliau boleh menjalankan pelbagai aktiviti, apatah lagi pada masa sama kerap menjelajah seluruh negara mengembangkan perniagaan, termasuk memberi ceramah.

Melayari kehidupan anak kelahiran Taiping, Perak itu, memang beliau seorang yang aktif atau dalam erti kata lain tidak boleh duduk diam. Antaranya, hasrat menemui bapa tujuh cahaya mata itu bagi mengisi ruangan ini beberapa kali tertangguh kerana kesibukannya.

Selain itu, yang menarik mengenai Jasmin, beliau antara pelopor kepada kelahiran baka kacukan kambing yang diberi nama Kaprima atau Kambing Prime Malaysia hasil kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH).

Kaprima adalah campuran baka Boer dan Jamnapari yang dikacukkan dengan kambing tempatan yang ‘lahir’ pada 2002. Ia boleh disembelih pada usia enam bulan.

Di samping itu, syarikat Jasmin menjadi perintis dalam menjalankan projek ternakan kambing Kaprima secara komersial. Malah, sistem Kaprima yang diperkenalkan pada 2000 menjadi model yang kini dipraktikkan di seluruh negara.

“Melalui sistem Kaprima, kambing diternak secara feedlot atau dikurung dalam kandang dengan memberi makan dedak dan rumput. Ia dilepaskan satu atau dua jam sehari. Sehingga kini lebih 1,500 orang mengikuti kursus di Kaprima, sekali gus mempraktikkan sistem ini di tempat masing-masing,” katanya.

Jasmin berkata, idea mengacukkan kambing tempatan dengan import itu timbul pada 1999 apabila melihat banyak kambing tempatan terbiar begitu saja, selain saiz fizikal yang kecil.

“Waktu itu industri kambing sedikit malap tetapi potensinya besar kerana semua bangsa memakan daging kambing. Melihat potensi yang ada, saya bekerjasama dengan JPH menjalankan kajian sehingga Kaprima dihasilkan,” katanya.

Menurutnya, Kaprima dengan berat antara 30 ke 50 kilogram mempunyai daging rendah lemak dan kolestrol, kaya vitamin B12, lembut, enak serta tidak berbau.

Kini baka Kaprima menjadi pilihan kerana ia menawarkan daging muda yang mengandungi peratus protein tinggi dan boleh disembelih pada usia enam bulan berbanding 12 bulan sebelum ini.

Nampak seperti mudah, namun kata Jasmin, cabaran untuk ada pada tahap hari ini sangat berliku.

“Bukan mudah untuk kendalikan kambing, apatah lagi mahu menukar daripada sistem lepas bebas kepada berkurung kerana ia mengambil masa. Saya juga pernah menghadapi cabaran serangan penyakit, kematian dan kakitangan bertukar, sekali gus menimbulkan masalah serta kos yang semakin meningkat,” katanya.

Antara dugaan dilaluinya ialah kematian hampir 110 ekor kambing daripada 450 ekor Jamnapari yang diimport dari Indonesia, selain jangkitan penyakit dan kematian dua hingga tiga ekor setiap hari.

Namun kerana minat selain berbekalkan pengalaman puluhan tahun sebagai Pembantu Veterinar Kanan di JPH, Jasmin berjaya menghadapi setiap masalah.

Sepanjang 21 tahun di JPH beliau terbabit dalam pelbagai bidang, antaranya tenusu, latihan dan penternakan lembu pedaging dalam kelapa sawit. Meskipun ia dilihat memberi kelebihan kepada Jasmin, namun seperti orang lain, beliau yang bersara pilihan pada Januari 2000 belajar dari bawah dan mengikuti kursus.

Menurut Jasmin, dia tidak pernah terfikir satu hari nanti menjadi usahawan, namun minat berniaga ada dalam diri sejak kecil.

“Saya dilahirkan dalam keluarga susah, emak dan ayah pesawah padi, selain ada membela 20 ekor kambing. Di rumah, kami dengan jumlah adik-beradik 12 orang hanya bertemankan pelita minyak tanah dan mandi air perigi.

“Hendak ke sekolah, saya kayuh basikal sejauh 14 kilometer pergi. Pada masa lapang, saya berniaga jual buah di pasar malam, selain membantu ayah mengembala kambing,” katanya.

Minat berniaga diteruskan apabila dia menyertai JPH pada 1979. Sepanjang tempoh itu, Jasmin pernah bercuti tanpa gaji selama tiga bulan dan setahun untuk menjalankan perniagaan penjualan produk IKS (industri kecil dan sederhana) serta menternak lembu dalam ladang kelapa sawit.

Pada akhir 1990-an, Jasmin mendapat idea untuk membuat R&D (penyelidikan dan pembangunan) dalam industri ternakan kambing sebelum mengambil keputusan bersara pilihan pada 1 Januari 2000.

Kini nama Kaprima semakin dikenali di seluruh negara, malah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tahun lalu menjadikan Kaprima sebagai perintis kepada pusat pengumpulan Boer terbesar di negara ini dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab daging halal di rantau ini.


Profil Usahawan Kreatif

Nama : Jasmin Jasin

Usia : 50 tahun

Lahir : 31 Mei 1958 di Taiping, Perak

Jawatan : Pengarah Urusan Kaprima LiveStock Sdn Bhd

Isteri : Sapiah Samad

Anak : Suzana (26); Siti Hawa (25); Suzilawati (24); Nurakmar (22); Nurul Ashikin (17); Nurul Huda (16) dan Muhammad Hafiz Al Hakim (5)

Pendidikan : Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Dew, Simpang Emapat, Semanggol Perak; Sekolah King Edward VII, Taiping, Perak dan Institut Veteriner, Kluang, Johor

Anugerah : Anugerah Peladang Jaya Negeri Melaka 2005/2006; Anugerah Usahawan Jaya Peladang Mara 2006 dan Anugerah Peladang jaya Kebangsaan (Kategori Lelaki) 2006


Tips Usahawan Kreatif

Sistem Integrasi Tanaman Jana Pendapatan Tambahan
“Mereka yang hendak menceburi bidang ini (ternakan) mesti ada perasaan kasih dan sayang pada haiwan ternakan. Seperti manusia, kambing perlu dibelai dan dimanjakan, selalu bercakap serta bertanya khabar.

“Jika tiada sifat berjiwa ternakan atau fikir mahu buat duit saja, lupakan kerana ia mengundang pelbagai kerumitan kemudian hari,” kata Jasmin ketika ditanya rahsia untuk menceburi industri penternakan.

Menurutnya, menjaga kambing bukan seperti menjaga manusia yang boleh berkata-kata kerana haiwan berkenaan hanya bertindak melalui gerak-geri fizikal.

“Jika kita selalu pukul kambing ini, apabila kita datang atau dekat, kambing itu akan lari dan kerana itu kita perlu mengenali sifat haiwan ini sebelum menternak,” katanya

Jasmin berkata, menternak kambing memerlukan ilmu, apatah lagi bila timbul masalah seperti penyakit dan kematian.

“Kematian kambing tidak dapat dielakkan, malah saya pernah menghadapi keadaan itu apabila dua hingga tiga ekor mati sehari. Jadi sebelum ia berlaku, kita sebagai penternak perlu tahu sebab atau punca dan menangani masalah yang wujud.

“Biasanya kambing di negara ini mengalami masalah seperti najis cair, demam dan sejuk paru-paru. Apabila berpenyakit, ia perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti JPH supaya tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.

Jasmin turut menyarankan kepada penternak atau mereka yang hendak berjinak dalam industri ini supaya menjalankan sistem integrasi tanaman daripada hanya menjalankan satu bisnes saja iaitu menternak kambing.

Katanya, melalui cara itu penternak tidak bergantung kepada satu sumber untuk memperoleh pendapatan, sebaliknya mampu menjana pendapatan tambahan melalui penggunaan tanah secara maksimum selain mengurangkan kos.

“Jika kita hanya menternak kambing, untuk menunggu pulangannya ia memakan masa sehingga dua tahun. Dalam tempoh itu kita memerlukan modal untuk operasi harian seperti makanan, ubat-ubatan, penjagaan dan sebagainya.

“Melalui sistem integrasi tanaman ini, tanah yang tidak digunakan kita boleh usahakan tanaman yang ada hubung kait dengan kambing seperti jagung, yang mana batang dan daunnya boleh dimakan kambing.

“Atau kita boleh usahakan dengan tanaman berdaun hijau lain yang sesuai untuk kambing. Selain boleh dijadikan makanan, tanaman ini boleh dijual dan ia memberi pendapatan tambahan kepada penternak,” katanya.

Sistem itu dipraktikkan di kawasan miliknya seluas 5.2 hektar apabila 1.2 hektar digunakan untuk penternakan kambing dan bakinya sebagai kawasan pertanian dan perikanan.

Jika ke ladangnya di Bukit Bulat, Alor Gajah, Melaka, pelbagai projek dijalankan di sini. Selain penternakan kambing, ada juga diusahakan penternakan cacing, lembu, itik, tanaman betik, pisang, buah naga, jambu air, itik, kolam ikan keli dan talapia serta chalet yang dibina khas untuk pengunjung menginap, sekali gus menikmati suasana aman dan tenteram.

Petikan Metro Ahad

TagerMedia Sdn Bhd

Tiga Bulan Untung Setengah Juta


Andai disamakan perkembangannya dengan seorang bayi yang baru berusia dua setengah bulan, pergerakannya hanya mampu mengiring atau paling pantas pun meniarap.

Namun, apabila situasi itu diterjemahkan kepada syarikat TagerMedia Sdn Bhd (TMSB) yang 'lahir' pada 31 Ogos lalu, keupayaannya melebihi jangkaan malah tidak melambangkan usia sebenar.

Mereka pantas berjalan dan semakin laju berlari dengan pengenalan laman web Blogstarz.My - platform pertama di dunia mengetengahkan Blog dan jaringan perniagaan internet yang dilayari atau mencecah 500,000 hit dari seluruh dunia setiap hari.

Pengenalannya hampir tiga bulan lalu berjaya menarik 1,000 blogger baru untuk turut serta malah syarikat berjaya mencatat keuntungan mencecah RM500,000 sebulan melalui pakej blogger dan pengiklanan.

Menariknya, kewujudan TMSB yang mempunyai modal berbayar RM5 juta membuktikan keupayaan dan kejayaan syarikat diasaskan anak muda berusia 35 tahun dari Pekan, Pahang, Karl Iskandar Awang.

TMSB adalah anak syarikat Overseas Delight Group of Companies yang berpengalaman lapan tahun dalam dunia teknologi maklumat (IT) sejak ditubuhkan pada 2001. Selain TMSB, syarikat diasaskan Iskandar itu mempunyai empat anak syarikat lain yang berkaitan internet.

Mungkin bunyinya 'gempar', ada lima anak syarikat selain dalam tempoh singkat berjaya memperoleh hasil hampir setengah juta ringgit sebulan namun bagi Karl Iskandar atau Iskandar, ia bukan mustahil.

"Pada awalnya saya memperkenalkan blog ini untuk membantu mereka yang tidak arif mengenai dunia IT tetapi lama kelamaan ia boleh 'buat duit'.

"Selain boleh mencari kenalan di seluruh dunia, blog ini juga memberi pendapatan sampingan seperti menjual barangan atau perkhidmatan, komisen daripada pengenalan blogger, menjual lot pengiklanan atau menganjurkan pertandingan kuiz seperti SMS (khidmat pesanan ringkas).

"Paling menarik, dalam tempoh setengah jam, mereka yang tidak tahu IT sudah boleh memahami dan memiliki blog sendiri, semudah A,B,C," katanya.

Pendapatan syarikat selain jumlah blogger dan hit yang semakin bertambah saban hari antara berita menarik didengar namun siapa tahu di sebalik semua itu, Iskandar bersama rakan kongsi, Ramdhan Ismail, 31, melalui tempoh memeritkan.

Meninggalkan anak isteri di rumah sebaliknya berkampung di pejabat berhari-hari, mengenal pasti kelemahan yang wujud selain menjadikan internet 'teman istimewa' setiap hari antara cabaran dan pengorbanan dilalui kedua-duanya.

"Kami bertemu secara tak sengaja di internet pada 2005, Ramdhan pakar dalam perisian IT dan saya pula dalam latihan dan pemasaran IT. Idea timbul apabila kesukaran untuk belajar IT.

"Jadi, saya terfikir mengapa tiada cara mudah untuk belajar dan pertemuan dengan Ramdhan membuka jalan apabila kami pada 2006 menjadi rakan kongsi seterusnya membuat kajian serta penyelidikan selama dua tahun sebelum lahirnya Blogstarz.My," katanya.

Sebelum serius membangunkan laman web Blogstarz, Iskandar terbabit dalam pelbagai kerjaya antaranya perbankan, hartanah dan perhotelan.

Dalam melayari kehidupan, Iskandar pernah mengalami zaman kejatuhan seiring dengan kegawatan ekonomi pada 1997 ketika dia bekerja di sebuah syarikat hartanah. Beberapa rumah dan kereta tergadai kerana hendak membayar hutang.

Malah, kehidupan yang dulunya selesa, bertukar sekelip mata sehingga dia terpaksa menyewa di rumah rakan berikutan rumah yang ada terpaksa digadaikan.

"Saya pulang ke Malaysia pada 1994 selepas tamat belajar di Amerika Syarikat (AS) dan mendapat kerja di sebuah bank. Selepas enam bulan, saya berhenti dan bekerja pula dengan sebuah syarikat hartanah.

"Pada masa itu, memang boleh buat duit namun apabila kegawatan ekonomi berlaku pada 1997, saya turut terkena tempiasnya sehingga terpaksa menjual rumah dan kereta.

"Selepas itu, saya menyewa di rumah rakan selama setahun sebelum berhenti dan bekerja di sebuah hotel dalam bidang pengurusan," katanya.

Selepas dua tahun mengutip pengalaman di hotel, Iskandar mengambil keputusan berhenti kerja untuk membuka syarikat pembinaan laman web. Melalui syarikat itu, beliau menganjurkan kelas IT dan pernah memiliki 100 pelajar pada satu masa.

Setahun kemudian, Overseas Delight Group of Companies yang terbabit dalam industri laman web dan perisian ditubuhkan sehingga Iskandar menemui Ramdhan pada 2005 sebelum bekerjasama mewujudkan Blogstarz.My Ogos lalu.

"Bukan mudah untuk saya perkenalkan dunia internet yang ketika itu boleh dikatakan baru di negara ini tetapi sudah lama dipraktikkan di negara luar khususnya AS. Daripada situ, wujud idea untuk memudahkan seseorang melayari internet dan gabungan idea dengan Ramdhan berjaya menghasilkan Blogstarz ini," katanya.

Berdasarkan pengalaman Iskandar, perniagaan bukan perkara baru bagi dirinya malah semangat berniaga itu diwarisi daripada moyang yang juga peniaga berasal dari Kampar, Sumatera.

Ketika usia 12 tahun, Iskandar bekerja di pasar malam menjual murtabak dengan pendapatan RM10 semalam. Wang yang ada digunakan untuk perbelanjaan sekolah selain membantu adik-beradik lain.

Sebagai abang sulung daripada sembilan beradik (kakak sebelumnya), anak kepada pasangan Awang Daru dan Rahani Mohamad itu dididik untuk hidup berdikari.

"Hidup keluarga saya sederhana, ayah bekerja sebagai posmen manakala emak suri rumah. Jadi peluang bekerja dengan orang di pasar malam tidak saya lepaskan kerana selain dapat bantu adik-adik, duit ini juga untuk perbelanjaan sekolah saya," katanya yang bekerja dari darjah enam hingga tingkatan lima.

Meskipun dilahirkan dalam keluarga besar, itu tidak menjadi halangan Iskandar untuk mencatat kecemerlangan dalam akademik sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke AS.

"Saya tidak pernah terfikir ada pada tahap ini sekarang namun bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan-Nya," katanya.


Profil Usahawan Kreatif

Nama : Karl Iskandar Awang

Usia : 35 tahun

Lahir : 28 Julai 1973 di Pekan, Pahang

Jawatan : Pengasas dan Pengarah Urusan Overseas Delight Group of Companies

Anak Syarikat :
1) Overseas Delight Sdn Bhd (Perisian komputer dan latihan)
2) TagerMedia Sdn Bhd (Blogstarz.My)
3) Maca International Sdn Bhd (e-shopping)
4) Boss Management Resources (Latihan perniagaan dan motivasi)
5) Overseas Do Work Solution (Rakan perniagaan bisnes)

Nama Isteri : Zuhainis Lazim
Anak-anak : Izzul Amaris, 7 tahun, Rifky Affiqal, 16 hari

Pendidikan:

1) Sekolah Rendah Kebangsaan Ahmad, Pekan
2) Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad, Pekan
3) Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan University of California Los Angeles (UCLA)
4) Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan UCLA

Hobi : Membaca dan melayari internet


Tips Usahawan Kreatif

Jana Pendapatan, Tingkat Pengetahuan IT
Semudah A, B dan C serta boleh memperoleh pendapatan RM300 sehari! Itu antara kelebihan laman web Blogstarz.My yang kini mendapat sambutan menggalakkan bukan hanya di negara ini tetapi juga Singapura, Brunei, Indonesia dan bakal ke peringkat global.

Iskandar berkata, melalui laman web berkenaan, ia bukan sekadar menjana pendapatan tetapi meningkatkan pengetahuan dalam dunia teknologi maklumat (IT) serta meluaskan jaringan kenalan di seluruh dunia.

Katanya, Blogstarz menyediakan platform pembangunan blog mudah, cepat dan mampu memberi pulangan lumayan sesuai untuk semua peringkat terutama mereka yang tidak arif atau buta IT.

"Sejak diperkenalkan di internet pada 31 Ogos tahun ini, 1,000 blogger menyertai kami dan hari ini jumlah hit diterima mencecah 500,000 setiap hari.

"Malah, merujuk kepada penyedia carta web dunia, www.alexa.com, dalam tempoh kurang dua bulan, kedudukan Blogstarz di seluruh dunia daripada tangga 25 juta meningkat ke sejuta dan terbaru naik hingga ke 700,000," katanya.

Iskandar yang mempunyai rangkaian kenalan setengah juta di seluruh dunia, berkata walaupun Blogstarz bakal dilancarkan besar-besaran 1 Januari 2009, sambutan diterima semakin meningkat malah kursus yang dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan.

"Meskipun baru beberapa bulan diperkenalkan, saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua blogger. Sebenarnya blog ini bukan saja tempat untuk kita menulis atau meluahkan perasaan tetapi juga boleh menjual barangan atau perkhidmatan selain membantu daripada segi pengiklanan," katanya.

Menurutnya, pendapatan diperoleh melalui hasil perniagaan yang diiklankan di laman blog seseorang, komisen pengenalan blogger, menjual lot pengiklanan, servis khidmat pesanan ringkas (SMS) atau penganjuran kuiz.

Untuk menjadi Blogger melalui Blogstarz, mereka yang berminat boleh memilih pakej bermula RM99 sebagai Blogger biasa; RM297 (Associate); RM693 (Manager) dan RM1,485 (Presiden).

Setiap pakej berbeza daripada segi jumlah kredit SMS diperoleh, jumlah iklan teks yang boleh dibuat, jumlah kata kunci SMS bagi menjalankan perniagaan IODSMS seperti AFUNDI dan Info Solat serta peratusan keuntungan Clickshare (perkongsian daripada keuntungan pengiklanan yang diperoleh Blogstarz secara keseluruhan).

Sebagai contoh kata Iskandar, jika memilih pakej RM99, pelanggan memperoleh sistem BulkSMS dengan jumlah kredit sebanyak 50 SMS; blog sendiri; bonus pelantikan blogger serta menjual barangan atau perkhidmatan bersesuaian.

Untuk komisen setiap Clickshare, katanya, pelanggan boleh memperoleh komisen antara satu sen sehingga USD$50 (RM175). Sebagai contoh, jika sesuatu iklan itu dibuka atau diklik 10,000 kali, pelanggan memperoleh komisen RM100.

Selain itu, orang ramai juga boleh merebut peluang perniagaan sebagai Master Center bermodalkan RM3,399; State Centre (RM25,000) dan Regional Centre (RM50,000) dengan potensi keuntungan lumayan.

"Rugi jika peluang dan kepakaran yang ada tidak dimanfaatkan sebaik mungkin khususnya Bumiputera kerana kita bukan saja ada latihan dan bantuan teknikal tetapi ada ruangan forum perbincangan mengenai pelbagai topik.

"Saya juga menyeru kepada pengiklan terutama syarikat besar supaya mengiklankan produk mereka dalam blog ini kerana ia mudah, cepat dan praktikal," katanya.

Untuk menghadiri taklimat Blogstarz, sila daftar melalui SMS, taip jarakjarakjarakjarak dan SMS ke 32300.

Mereka yang berminat juga boleh hubungi Nazif Mansor (Pengurus Pemasaran) di talian 012-9072143 atau datang terus ke pejabat TagerMedia Sdn Bhd di No: 20-1 Jalan 1/76D, Desa Pandan, Kuala Lumpur. Selain itu, boleh juga hubungi 03-92859977 dan faks ke 03-92849977 atau Hotline 1-300-88-9977.

Petikan Metro Ahad