Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn Bhd

Kelisa Hias Hidup Ahmad


Menjadi anak yatim ketika berusia dua tahun membuatkan Ahmad Don cepat mengenal erti kehidupan dan belajar berdikari. Bayangkan, pada usia sekecil itu manakala adik bongsunya masih dalam kandungan ibu, bapa tercinta, Don Yusof, kembali ke rahmatullah.

Berikutan itu ibunya, Mah Saud, 76, yang ketika itu berusia 22 tahun terpaksa menggalas tanggungjawab bagi membesarkan beliau tiga beradik dengan menoreh getah.

Naluri mahu keluar daripada kepompong kemiskinan menyebabkan Ahmad terpanggil untuk berniaga. Ketika berusia belasan tahun dan selepas menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), beliau sering meluangkan masa menangkap ikan hiasan di sungai atau tasik Bukit Merah untuk dijual bagi mendapatkan duit poket.

“Saya datang daripada golongan miskin. Kehidupan masa kecil sungguh susah, menyebabkan saya rasa terpanggil untuk berniaga. Untuk pergi ke sekolah menengah yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari rumah, saya menumpang basikal kawan setiap hari sehingga dapat membeli basikal ketika di tingkatan tiga.

“Disebabkan minat berniaga, sambil menyambung pelajaran ke tingkatan empat dan lima, saya mengisi masa lapang menangkap ikan hiasan untuk dijual kepada peniaga di Pulau Pinang.

“Antaranya kelisa (arowana), lampam, kaloi, toman dan ketutu. Ada juga kelisa yang saya beli daripada kawan dengan harga RM12 dan kemudian saya jual RM15 seekor.

“Waktu itu pun ikan kelisa mempunyai nilai tinggi berbanding ikan hiasan lain. Jika ikan hiasan lain berharga 10 hingga 20 sen seekor, kelisa yang berukuran enam hingga tujuh sentimeter berharga RM12 hingga RM15 seekor,” kata Pengarah Urusan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn Bhd (BMA) itu.

Menurut Ahmad, dia banyak mendapat tunjuk ajar selok-belok perniagaan ikan hiasan daripada peniaga Pulau Pinang yang turut membawanya menghantar ikan hiasan ke Singapura dan Thailand.

“Ahmad, you tak payah bikin cikgu (awak tak payah jadi guru). You berniaga.” Itulah pesanan peniaga berkenaan yang masih diingatinya sehingga hari ini.

Disebabkan galakan peniaga itu Ahmad semakin berminat dalam bidang ikan hiasan dan belajar mengenai perniagaan dan penjagaan ikan hiasan secara tidak formal daripadanya.

Pada usia 20 tahun Ahmad mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam jurusan perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jalan Othman, Petaling Jaya.

Selepas tamat pengajian pada 1983 beliau menyambung minatnya terhadap ikan dengan membuka perniagaan ikan hiasan.

“Bermodalkan RM10,000 daripada duit simpanan menjual ikan dan upah membuat sangkar burung, saya membuka perniagaan ikan hiasan dan haiwan peliharaan di Taiping.

“Ketika mahu menjelaskan deposit kedai sebanyak RM1,800 saya melilau mencari di sana sini. Sukar untuk meminjam wang kerana orang tidak percaya perniagaan ini boleh maju.

“Untuk menjimatkan kos, saya turut memohon kepada Mara supaya menurunkan sewa bulanan kedai daripada RM250 kepada RM180 dan usaha itu berjaya,” katanya.

Kegawatan ekonomi pada 1988 dan 1999 memberi impak besar kepada Ahmad yang ketika itu turut mengusahakan syarikat pembinaan.

Beliau kerugian kira-kira RM600,000 dan pengalaman itu menjadi iktibar kepadanya.

Pada 2000 Ahmad menutup syarikat pembinaan itu, diikuti kedai ikan hiasan dan akuarium pada tahun berikutnya kerana mahu menumpukan 100 peratus kepada pembiakan ikan kelisa yang juga ikan hiasan termahal di dunia.

Beliau mengusahakan pembiakan kelisa di kolam di tanah pusaka peninggalan bapanya seluas 0.202 hektar (dua ekar). Secara berperingkat-peringkat, beliau meluaskan perniagaan dengan membeli tanah seluas 197 hektar untuk membina kira-kira 700 kolam.

BMA mengkhusus kepada pembiakan kelisa emas Malaysia iaitu spesies kelisa paling mahal manakala Bukit Merah ialah tempat paling sesuai bagi pembiakan kelisa spesies berkenaan kerana kawasan itu adalah habitat asalnya.

Turut dibiakkan ialah kelisa merah, emas Indonesia, Malaysia high back, hijau dan perak.

Katanya, kira-kira 30 tahun dulu seekor ikan kelisa dijual dengan harga RM12, tetapi sekarang harganya mencecah RM1,800 seekor (bagi anak ikan berukuran tiga hingga empat inci).

“Bezanya dulu saya tangkap ikan kelisa dan jual, tetapi sekarang ikan ini dibiakkan. Walaupun banyak berjaya dibiakkan, ia masih tidak mampu menampung permintaan dari Asia dan Eropah,” katanya.

Harga pasaran bagi jualan anak ikan bersaiz tiga hingga empat inci ialah RM2,500 seekor bagi emas Malaysia, merah cili (RM2,500), super red (RM1,800), high back Golden (RM550), banjar red (RM180), hijau (RM100) dan perak (RM20).

Jualan ikan pra matang iaitu berusia satu hingga dua tahun ialah setinggi RM9,000 seekor bagi emas Malaysia manakala harga terendah ialah kelisa perak berharga antara RM450 hingga RM500 seekor.

Bagi menambah pengetahuan serta mengintai pasaran baru, Ahmad yang sering ke China kerana urusan perniagaan ikan kelisa pernah mengunjungi pameran ikan hiasan di Perancis, Jerman dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Melalui BMA, beliau juga bersedia berkongsi perniagaan dengan individu berminat menerusi sistem pawah.

“Bagi menghasilkan benih atau baka bermutu, ikan berkenaan dipelihara di kolam BMA dan syarikat membekalkan makanan dan penjagaan untuk tempoh lima tahun. Selepas lima tahun, rakan kongsi boleh mengambil semula ikan berkenaan atau terus dipelihara di kolam BMA.

“Kita kena kreatif dalam perniagaan dan sentiasa memikirkan strategi terbaik selain mengatasi masalah kawalan harga. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, kelisa masih ada pasaran yang baik. Bukit Merah adalah tempat terbaik bagi membiak kelisa di Malaysia, malah juga di dunia.

“Emas Malaysia yang juga spesies kelisa paling mahal berasal dari sini manakala kelisa hijau dari Kedah. Di Taiwan dan China misalnya, walaupun kelisa mempunyai pasaran bagus, ia tidak sesuai diternak kerana mempunyai cuaca empat musim,” katanya yang juga perintis bagi pembiakan ikan kelisa di Bukit Merah.

Kaya dengan pengalaman memelihara ikan itu sejak remaja, beliau tidak lokek memberi tunjuk ajar atau khidmat nasihat kepada pengusaha lain.

Sejak 2006 jumlah pengusaha kelisa di Bukit Merah semakin bertambah seperti cendawan tumbuh lepas hujan iaitu mencecah kira-kira 30 pengusaha.

Sementara itu lebih 100 peserta menyertai sistem pawah BMA yang mengenakan syarat terikat selama lima tahun bagi memastikan pengeluaran ikan berkenaan konsisten.

“Saya fikir, kalau hendak tunggu hasil atau buat pinjaman bank, tentu perniagaan berjalan dengan perlahan. Disebabkan itu saya usaha cara lain dan inilah (sistem pawah) yang saya amalkan. Cara ini juga dapat membantu ramai rakan kongsi,” katanya.

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Ahmad Don

UMUR: 54 tahun

ASAL: Semanggol, Perak

JAWATAN: Pengarah Urusan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn Bhd

ISTERI: Norsiah Hasan

ANAK: Normazlina (26), Iskandar Zulkarnain (21) dan Iskandar Ar-Rahman (15)

Tips Usahawan Kreatif

Sasar 1000 Kolam Ikan
Lapan tahun menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembiakan baka ikan kelisa berkualiti tinggi, usaha Ahmad ternyata membuahkan hasil. Tidak sia-sia beliau mengutip pengalaman mengenai penjagaan ikan kelisa sejak usia belasan tahun lagi.

Mensasarkan Bukit Merah Aquaculture (BMA) sebagai pengeluar utama bagi ikan kelisa emas Malaysia yang berkualiti tinggi untuk pasaran dunia, Ahmad kini dalam proses menambah jumlah kolam ikan daripada 700 kepada 1,000 kolam.

Menjelang tahun depan, Ahmad mensasarkan pengeluaran 50,000 anak ikan kelisa setahun bagi memenuhi pasaran luar negara.

“Buat masa ini kita cuma mampu menampung peratusan kecil permintaan dari luar negara iaitu dengan pembiakan kira-kira 30,000 anak ikan setahun.

“Pembenihan perlu dilakukan dengan teliti kerana kita tidak mahu anak ikan luka dan cedera. Anak ikan dijaga dengan rapi iaitu dipelihara dalam inkubator sehingga telur kuning yang menjadi makanannya habis, baru ia dilepaskan ke dalam kolam asuhan,” katanya.

Ahmad turut membina kolam ternakan kelisa di Kuala Kangsar. Lokasi baru itu mempunyai 230 kolam dan menjelang tahun depan jumlahnya mencecah lebih 300 kolam bagi membantu belia menerusi sistem pawah.

“Walaupun sebelum ini saya banyak menempuh cabaran dalam pembiakan ikan kelisa seperti ikan mati ketika dialihkan kerana sensitif dengan perubahan air, menjualnya pula begitu mudah kerana ia mempunyai pasaran besar,” katanya yang melihat potensi besar dalam perniagaan itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Ketika bersembang dengan anaknya, Iskandar Zulkarnain, 21, Ahmad sering memberi tips perniagaan dan pendedahan bagi merangsang minat anaknya dalam perniagaan itu.

Iskandar Zulkarnain yang kini menuntut dalam bidang mekatronik di Australia banyak diberi pendedahan, termasuk mengikut beliau ke pameran ikan hiasan di luar negara.

“Anak menunjukkan minat dalam perniagaan ini. Selain Iskandar, anak sulung, Normazlina yang kini menyambung pengajian peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang perakaunan turut berperanan mengendalikan urusan perniagaan.

“Saya memberi gaji kepada anak dan isteri kerana mereka sama-sama menyumbang tenaga membangun dan memajukan syarikat. Pada masa terluang, saya akan meninjau kolam ikan. Isteri dan anak tidak ambil kisah kerana mereka bukan saja memahami tetapi juga menunjukkan minat sama,” katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi anaknya, Nor Aishah yang juga kembar Normazlina tidak sempat melihat kejayaannya kerana meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan kereta ketika masih menuntut di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada 2003.

Menggajikan kira-kira 50 pekerja dengan 80 peratus daripadanya adalah pekerja tempatan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya, perniagaan itu secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Petikan Metro Ahad

Million Board Sdn Bhd

Rezeki Sakit Belakang Hasnizar

Beliau bermula sebagai jurutera projek tetapi membuat perubahan drastik dalam haluan kerjayanya ketika kegawatan ekonomi melanda negara.

Satu demi satu pekerjaan dilakukan, daripada perunding jualan, 'pengusir hantu moden' hinggalah sampai satu tahap hanya mampu mencari rezeki dengan mencuci pinggan di warung selepas 'tersungkur' dalam perniagaan.

Begitupun, bak kata pepatah 'kalah bukan bererti mengalah', keperitan hidup yang pernah dilaluinya itu kini berganti dengan pencapaian membanggakan.

Pada usia 34 tahun, dia tidak lagi bergelar pekerja bawahan, sebaliknya mempunyai perniagaan sendiri dengan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Produk penjagaan tulang belakang jenama Dr Backbone keluaran syarikatnya kini 'harum' dan menjadi sebutan ramai. Puluhan ribu unit produk berkenaan dijual sejak diperkenalkan pada 2006.

Malah produk itu bukan sembarangan kerana keberkesanannya turut mendapat pengiktirafan pakar bedah Ortopedik Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Dr Mohd Ismail Maulut.

Itulah keistimewaan CEO Million Board Sdn Bhd, Hasnizar Ibrahim yang satu ketika dulu terpaksa mendepani pelbagai liku dan ranjau kehidupan untuk mengecapi nikmat kejayaan.

"Bukan calang-calang kerugian yang pernah saya alami dulu. Saya alami kerugian melebihi RM900,000 sehingga segala harta terpaksa digadai.

"Pendek kata tinggal sehelai sepinggang, sampai hendak ke mana-mana hanya mampu berjalan kaki dan mencari rezeki sebagai pencuci pinggan di warung. Pada masa lapang pula saya mendalami ilmu urutan tradisional," kata Hasnizar ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Sebelum memasuki dunia pekerjaan, Hasnizar menunjukkan ciri-ciri kepemimpinan apabila terpilih sebagai Presiden Persatuan Kejuruteraan Awam ketika melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

Dengan menggabungkan bakat kepemimpinan dan minat dalam bidang perniagaan, beliau membulatkan tekad untuk menjadi ahli perniagaan.

"Tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan awam pada 1998, saya bekerja sebagai jurutera projek tetapi kerana kegawatan ekonomi, saya membuat keputusan drastik mencari ruang untuk menjadi ahli perniagaan.

"Kalau diikutkan, dari kecil memang saya minat berniaga. Sebab itu saya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan serta pemasaran dan memulakan kerjaya dalam bidang itu," katanya.

Mengimbas kembali kenangan ketika menceburi bidang pemasaran, beliau ketika itu menjawat jawatan perunding jualan di Linguaphone Institue of London, di mana banyak selok-belok perniagaan dipelajarinya dan pada masa sama berdepan pelbagai cabaran yang hampir melemahkan semangat.

"Bayangkan, setiap hari saya berdepan lebih 20 pelanggan untuk mempromosi produk yang dijual, tetapi tiada seorang pun berminat membeli daripada saya. Ketika itu memang saya jadi lemah semangat... marah pun ada.

"Saya sedar saya masih mempunyai kelemahan untuk diperbaiki. Sebagai seorang Islam, saya memanjatkan doa supaya dimurahkan rezeki.

"Alhamdulillah berkat kesabaran dan rezeki diberi Allah SWT, selepas dua minggu, saya dapat seorang demi seorang pelanggan hinggalah saya berjaya menjadi perunding jualan terbaik," katanya.

Setahun menjadi perunding jualan, Hasnizar terus cemerlang apabila dipilih menjadi pengarah pemasaran untuk sebuah syarikat pembuatan air minuman Bumiputera pada 1999 berjenama MANJA.

Di syarikat itu beliau berjaya mendapatkan kontrak tempahan air sebanyak dua juta tin setiap bulan, sekali gus menjadikan masa depannya semakin cerah.

Menyedari mempunyai keupayaan untuk berniaga sendiri, Hasnizar meninggalkan syarikat itu dan menjadi rakan kongsi untuk satu perniagaan berasaskan produk capal.

Hanya dalam tempoh lapan bulan, bibit-bibit kegagalan membelenggunya dan dia keluar mencuba perniagaan baru iaitu sejenis cendawan antikanser, tetapi masih belum mencapai kejayaan membanggakan.

Hasnizar mengakui ketika itu dia belum matang dalam dunia perniagaan.

"Maklumlah, ketika itu saya masih muda. Ilmu perniagaan pula belum cukup, menyebabkan saya hanya mampu bertahan dalam tempoh singkat. Saya juga jenis yang jujur dan pernah disindir 'budak hingusan' dalam perniagaan," katanya.

Sejak itu Hasnizar bagai hilang arah dan tujuan. Dia bekerja mencuci pinggan di sebuah warung dengan gaji RM15 sehari dan mendalami ilmu urutan tradisional pada waktu lapang.

Tiga bulan selepas itu Hasnizar beralih arah apabila memilih kerjaya sebagai 'pengusir hantu moden' dengan menggunakan kaedah teknologi sains dan tradisional.

"Memang melucukan, tetapi realitinya itu yang saya lakukan. Setiap hari mencari hantu dan mengenakan yuran untuk setiap perkhidmatan diberi. Ada pelanggan, tetapi saya fikir sampai bila saya nak buat kerja itu," katanya.

Pada 2006 Hasnizar memberanikan diri bertatih kembali dalam dunia perniagaan. Bermodalkan wang sebanyak RM3,000 yang dipinjam daripada sepupunya, dia memulakan perniagaan produk penjagaan tulang belakang.

Hasnizar berkata, ilham untuk menjalankan perniagaan itu tercetus hasil daripada apa yang berlaku kepada dirinya.

"Dari zaman kanak-kanak, rakan sebaya memang mengenalinya dengan bentuk badan yang membongkok. Semua itu ada kaitan dengan tulang belakang.

"Apabila ke surau ke masjid untuk menjalani ibadat dan mendengar ceramah, saya selalu berasa sakit belakang akibat duduk terlalu lama. Sejak itu saya banyak membaca buku dan mengkaji di Internet mengenai hal tulang belakang dan tercetuslah ilham untuk menjual produk berkaitan penjagaan tulang belakang," katanya.

Begitupun, laluan untuk Hasnizar memasarkan produk itu tidak semudah disangka kerana dia perlu bertungkus lumus mendapatkan pelanggan.

"Pengunjung pasar malam tempat saya berniaga tidak menunjukkan minat terhadap produk saya apabila diberitahu ia keluaran tempatan.

"Begitupun saya tidak putus asa dan terus berusaha meyakinkan pengunjung sehingga dapat menjualnya kepada beberapa pelanggan," katanya.

Menurut Hanizar, dia mula menjual produk itu tanpa jenama di pasar malam Uptown Danau Kota dan Seri Gombak, tetapi sambutannya hambar sehingga beliau mendapat khidmat nasihat daripada Dr Mohd Ismail Maulut, doktor pakar bedah ortopedik yang banyak memberi cadangan dan pendapat supaya produk itu mencapai standard antarabangsa.

Hasnizar berkata, dia terus berusaha membangunkan perniagaannya dengan menggunakan jenama 'Dr Backbone' dan mempromosi produk itu di pelbagai tempat, termasuk stesen minyak dan kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara Selatan dan pusat beli-belah sekitar Lembah Klang.

"Waktu tidur saya ketika itu hanya dua atau tiga jam. Begitupun, Alhamdulillah usaha berterusan yang dilakukan itu melonjakkan jualan produk berkenaan.

"Hasilnya saya mampu beroperasi di pejabat sendiri, mempunyai kakitangan sendiri, ada kilang yang mengkhusus kepada pembuatan produk dan pengedar juga semakin bertambah," katanya.

Menurut Hasnizar, syarikatnya menjalankan usaha penyelidikan dan pembangunan yang berterusan bagi terus meningkatkan mutu produk.

"Doa ayah dan ibu serta kedua-dua mentua menjadikan saya mampu ada di tahap seperti hari ini. Bagaimanapun, perjalanan untuk saya melakar kegemilangan dalam dunia perniagaan masih panjang.

"Saya turut berterima kasih kepada Dr Mohd Ismail Maulut, bapa angkat Syed Hussein Al-Attas dan Datuk Dr Fadzilah Kamsah yang selama ini banyak memberi sokongan. Paling utama isteri yang sentiasa memberi semangat," katanya.

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Hasnizar Ibrahim

UMUR: 34 tahun

ASAL: Kampung Jerjak, Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Awam (1998), Diploma Pemasaran Universiti Malaya (2003)

JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Million Board Sdn Bhd

ISTERI: Nur Hafiza Zakaria


Tips Usahawan Kreatif 

Hasil Produk Minuman Kalsium
Million Board Sdn Bhd merancang memberi keutamaan kepada siswazah muda yang menganggur dan ibu tunggal menceburi dunia perniagaan.

Hasnizar berkata, golongan terbabit dipelawa menjadi pengedar produk Dr Backbone yang diyakini mampu memberi keuntungan tinggi.

"Kita tawarkan modal rendah untuk mereka tetapi pulangannya lumayan. Ini kita lakukan sebagai satu tanggungjawab untuk membantu golongan terbabit menjana pendapatan menerusi bidang perniagaan.

"Bukan saja perniagaan, tetapi pada masa sama kita membantu daripada segi memberi kesedaran mengenai kepentingan penjagaan tulang belakang," katanya.

Menurut Hasnizar, syarikatnya turut mempelawa mana-mana organisasi bekerjasama dengan syarikatnya sejajar dengan usaha untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

"Pada masa sama, dari semasa ke semasa kita akan mengadakan lebih banyak lagi seminar dengan kerjasama pakar bagi memperkenalkan produk dan membuktikan kelebihannya.

"Kita juga akan mempergiatkan usaha mempromosi peluang perniagaan untuk produk berkenaan," katanya.

Menurut Hasnizar, jenama Dr Backbone akan diperluaskan, bukan hanya semata-mata kepada produk penjagaan tulang belakang.

"Pada awal 2010, kita merancang mengeluarkan produk minuman kalsium dengan pelbagai perisa yang mampu memenuhi selera semua jantina, peringkat umur dan kaum.

"Jika diikutkan banyak lagi perancangan kita, tetapi kita akan lakukannya secara berperingkat demi memastikan apa yang dihasilkan berkualiti dan berkesan," katanya.

Produk Dr Backbone kini boleh dimiliki dengan pilihan tujuh warna bingkai daripada kulit bagi memenuhi cita rasa pelanggan.

Ia mempunyai ketahanan dan jaring teknologi tinggi yang mampu menampung bebanan pengguna seberat 198 kilogram.

Produk yang mendapat pengiktirafan paten reka bentuk industri harta intelek pada April lalu itu dijamin tahan sekurang-kurangnya dua tahun serta berkualiti. Maklumat lanjut mengenai Dr Backbone boleh diperoleh di www.drbackbone.com.
 
Petikan Metro Ahad

Sani United Sdn Bhd

Rakan Karib Inspirasi Sani

Pada usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.

Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.

“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.

Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan.

Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express.

Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.

Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.

Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.

“Biasalah... dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.

“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.

Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu.

Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.

“Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.

“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.

Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.

Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.

“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.

“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.

Ketika memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.

Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.

“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya.

Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.

“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.

“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.

Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.

Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.

“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?

“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.

Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.

Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta.

Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.

Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan.

Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.

“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.

“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.

Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.

Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.

“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.

“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.

“Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya.

Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.

“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

“Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.

Profil Usahawan Kreatif

Nama : Datuk Wan Mohammad Sani Salleh

Usia : 33 tahun

Lahir : 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu

Adik Beradik: Keempat daripada enam beradik

Pendidikan : Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)

Jawatan : Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd).

Pencapaian : Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)


Tips Usahawan Kreatif
SANI Express mensasarkan untuk memiliki 100 bas dan meneroka semua laluan di negara ini dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Sani, sebanyak RM100 juta akan dilabur untuk tujuan itu dan beliau mensasar untuk memiliki 500 kakitangan dalam tempoh berkenaan.

“Ketika ini Sani Express menggunakan sepenuhnya 25 bas dua tingkat dan untuk tempoh tiga tahun saya mensasar untuk memiliki 100 bas dengan meneroka semua laluan di negara ini.

“Saya optimis dengan sasaran itu bersandarkan pencapaian Sani Express ketika ini. Malah sehingga hari ini pelaburan yang dibuat untuk pelbagai keperluan, antaranya membeli bas baru dan bangunan Wisma Dato’ Sani, mencecah RM50 juta,” katanya.

Sani berkata, wisma berkenaan bukan sekadar menjadi pusat pentadbiran syarikat, tetapi pertemuan kakitangan pelbagai peringkat.

“Saya memilih lokasi wisma itu yang terletak di Klang Sentral kerana ia perhentian terakhir untuk bas Sani Express. Di situ saya berpeluang bertemu semua kakitangan dan membantu saya mengetahui dan menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul,” katanya.

Wisma yang turut dilengkapi pusat latihan itu membantu Sani United Sdn Bhd memiliki kakitangan yang dapat melaksanakan tugas dengan efisien.

“Saya turut mengutamakan latihan kepada pemandu bas supaya semua pemandu bas Sani Express membabitkan pemandu berhemah. Pemandu bas sangat penting kerana mereka membawa ‘nyawa’.

“Ia juga sebagai satu keyakinan kepada pelanggan bahawa Sani Express bukan saja mengutamakan keselesaan tetapi juga sangat mengutamakan keselamatan pelanggannya,” katanya.

Petikan Metro Ahad