Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn Bhd

Kelisa Hias Hidup Ahmad


Menjadi anak yatim ketika berusia dua tahun membuatkan Ahmad Don cepat mengenal erti kehidupan dan belajar berdikari. Bayangkan, pada usia sekecil itu manakala adik bongsunya masih dalam kandungan ibu, bapa tercinta, Don Yusof, kembali ke rahmatullah.

Berikutan itu ibunya, Mah Saud, 76, yang ketika itu berusia 22 tahun terpaksa menggalas tanggungjawab bagi membesarkan beliau tiga beradik dengan menoreh getah.

Naluri mahu keluar daripada kepompong kemiskinan menyebabkan Ahmad terpanggil untuk berniaga. Ketika berusia belasan tahun dan selepas menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), beliau sering meluangkan masa menangkap ikan hiasan di sungai atau tasik Bukit Merah untuk dijual bagi mendapatkan duit poket.

“Saya datang daripada golongan miskin. Kehidupan masa kecil sungguh susah, menyebabkan saya rasa terpanggil untuk berniaga. Untuk pergi ke sekolah menengah yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari rumah, saya menumpang basikal kawan setiap hari sehingga dapat membeli basikal ketika di tingkatan tiga.

“Disebabkan minat berniaga, sambil menyambung pelajaran ke tingkatan empat dan lima, saya mengisi masa lapang menangkap ikan hiasan untuk dijual kepada peniaga di Pulau Pinang.

“Antaranya kelisa (arowana), lampam, kaloi, toman dan ketutu. Ada juga kelisa yang saya beli daripada kawan dengan harga RM12 dan kemudian saya jual RM15 seekor.

“Waktu itu pun ikan kelisa mempunyai nilai tinggi berbanding ikan hiasan lain. Jika ikan hiasan lain berharga 10 hingga 20 sen seekor, kelisa yang berukuran enam hingga tujuh sentimeter berharga RM12 hingga RM15 seekor,” kata Pengarah Urusan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn Bhd (BMA) itu.

Menurut Ahmad, dia banyak mendapat tunjuk ajar selok-belok perniagaan ikan hiasan daripada peniaga Pulau Pinang yang turut membawanya menghantar ikan hiasan ke Singapura dan Thailand.

“Ahmad, you tak payah bikin cikgu (awak tak payah jadi guru). You berniaga.” Itulah pesanan peniaga berkenaan yang masih diingatinya sehingga hari ini.

Disebabkan galakan peniaga itu Ahmad semakin berminat dalam bidang ikan hiasan dan belajar mengenai perniagaan dan penjagaan ikan hiasan secara tidak formal daripadanya.

Pada usia 20 tahun Ahmad mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam jurusan perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jalan Othman, Petaling Jaya.

Selepas tamat pengajian pada 1983 beliau menyambung minatnya terhadap ikan dengan membuka perniagaan ikan hiasan.

“Bermodalkan RM10,000 daripada duit simpanan menjual ikan dan upah membuat sangkar burung, saya membuka perniagaan ikan hiasan dan haiwan peliharaan di Taiping.

“Ketika mahu menjelaskan deposit kedai sebanyak RM1,800 saya melilau mencari di sana sini. Sukar untuk meminjam wang kerana orang tidak percaya perniagaan ini boleh maju.

“Untuk menjimatkan kos, saya turut memohon kepada Mara supaya menurunkan sewa bulanan kedai daripada RM250 kepada RM180 dan usaha itu berjaya,” katanya.

Kegawatan ekonomi pada 1988 dan 1999 memberi impak besar kepada Ahmad yang ketika itu turut mengusahakan syarikat pembinaan.

Beliau kerugian kira-kira RM600,000 dan pengalaman itu menjadi iktibar kepadanya.

Pada 2000 Ahmad menutup syarikat pembinaan itu, diikuti kedai ikan hiasan dan akuarium pada tahun berikutnya kerana mahu menumpukan 100 peratus kepada pembiakan ikan kelisa yang juga ikan hiasan termahal di dunia.

Beliau mengusahakan pembiakan kelisa di kolam di tanah pusaka peninggalan bapanya seluas 0.202 hektar (dua ekar). Secara berperingkat-peringkat, beliau meluaskan perniagaan dengan membeli tanah seluas 197 hektar untuk membina kira-kira 700 kolam.

BMA mengkhusus kepada pembiakan kelisa emas Malaysia iaitu spesies kelisa paling mahal manakala Bukit Merah ialah tempat paling sesuai bagi pembiakan kelisa spesies berkenaan kerana kawasan itu adalah habitat asalnya.

Turut dibiakkan ialah kelisa merah, emas Indonesia, Malaysia high back, hijau dan perak.

Katanya, kira-kira 30 tahun dulu seekor ikan kelisa dijual dengan harga RM12, tetapi sekarang harganya mencecah RM1,800 seekor (bagi anak ikan berukuran tiga hingga empat inci).

“Bezanya dulu saya tangkap ikan kelisa dan jual, tetapi sekarang ikan ini dibiakkan. Walaupun banyak berjaya dibiakkan, ia masih tidak mampu menampung permintaan dari Asia dan Eropah,” katanya.

Harga pasaran bagi jualan anak ikan bersaiz tiga hingga empat inci ialah RM2,500 seekor bagi emas Malaysia, merah cili (RM2,500), super red (RM1,800), high back Golden (RM550), banjar red (RM180), hijau (RM100) dan perak (RM20).

Jualan ikan pra matang iaitu berusia satu hingga dua tahun ialah setinggi RM9,000 seekor bagi emas Malaysia manakala harga terendah ialah kelisa perak berharga antara RM450 hingga RM500 seekor.

Bagi menambah pengetahuan serta mengintai pasaran baru, Ahmad yang sering ke China kerana urusan perniagaan ikan kelisa pernah mengunjungi pameran ikan hiasan di Perancis, Jerman dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Melalui BMA, beliau juga bersedia berkongsi perniagaan dengan individu berminat menerusi sistem pawah.

“Bagi menghasilkan benih atau baka bermutu, ikan berkenaan dipelihara di kolam BMA dan syarikat membekalkan makanan dan penjagaan untuk tempoh lima tahun. Selepas lima tahun, rakan kongsi boleh mengambil semula ikan berkenaan atau terus dipelihara di kolam BMA.

“Kita kena kreatif dalam perniagaan dan sentiasa memikirkan strategi terbaik selain mengatasi masalah kawalan harga. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, kelisa masih ada pasaran yang baik. Bukit Merah adalah tempat terbaik bagi membiak kelisa di Malaysia, malah juga di dunia.

“Emas Malaysia yang juga spesies kelisa paling mahal berasal dari sini manakala kelisa hijau dari Kedah. Di Taiwan dan China misalnya, walaupun kelisa mempunyai pasaran bagus, ia tidak sesuai diternak kerana mempunyai cuaca empat musim,” katanya yang juga perintis bagi pembiakan ikan kelisa di Bukit Merah.

Kaya dengan pengalaman memelihara ikan itu sejak remaja, beliau tidak lokek memberi tunjuk ajar atau khidmat nasihat kepada pengusaha lain.

Sejak 2006 jumlah pengusaha kelisa di Bukit Merah semakin bertambah seperti cendawan tumbuh lepas hujan iaitu mencecah kira-kira 30 pengusaha.

Sementara itu lebih 100 peserta menyertai sistem pawah BMA yang mengenakan syarat terikat selama lima tahun bagi memastikan pengeluaran ikan berkenaan konsisten.

“Saya fikir, kalau hendak tunggu hasil atau buat pinjaman bank, tentu perniagaan berjalan dengan perlahan. Disebabkan itu saya usaha cara lain dan inilah (sistem pawah) yang saya amalkan. Cara ini juga dapat membantu ramai rakan kongsi,” katanya.

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Ahmad Don

UMUR: 54 tahun

ASAL: Semanggol, Perak

JAWATAN: Pengarah Urusan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn Bhd

ISTERI: Norsiah Hasan

ANAK: Normazlina (26), Iskandar Zulkarnain (21) dan Iskandar Ar-Rahman (15)

Tips Usahawan Kreatif

Sasar 1000 Kolam Ikan
Lapan tahun menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembiakan baka ikan kelisa berkualiti tinggi, usaha Ahmad ternyata membuahkan hasil. Tidak sia-sia beliau mengutip pengalaman mengenai penjagaan ikan kelisa sejak usia belasan tahun lagi.

Mensasarkan Bukit Merah Aquaculture (BMA) sebagai pengeluar utama bagi ikan kelisa emas Malaysia yang berkualiti tinggi untuk pasaran dunia, Ahmad kini dalam proses menambah jumlah kolam ikan daripada 700 kepada 1,000 kolam.

Menjelang tahun depan, Ahmad mensasarkan pengeluaran 50,000 anak ikan kelisa setahun bagi memenuhi pasaran luar negara.

“Buat masa ini kita cuma mampu menampung peratusan kecil permintaan dari luar negara iaitu dengan pembiakan kira-kira 30,000 anak ikan setahun.

“Pembenihan perlu dilakukan dengan teliti kerana kita tidak mahu anak ikan luka dan cedera. Anak ikan dijaga dengan rapi iaitu dipelihara dalam inkubator sehingga telur kuning yang menjadi makanannya habis, baru ia dilepaskan ke dalam kolam asuhan,” katanya.

Ahmad turut membina kolam ternakan kelisa di Kuala Kangsar. Lokasi baru itu mempunyai 230 kolam dan menjelang tahun depan jumlahnya mencecah lebih 300 kolam bagi membantu belia menerusi sistem pawah.

“Walaupun sebelum ini saya banyak menempuh cabaran dalam pembiakan ikan kelisa seperti ikan mati ketika dialihkan kerana sensitif dengan perubahan air, menjualnya pula begitu mudah kerana ia mempunyai pasaran besar,” katanya yang melihat potensi besar dalam perniagaan itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Ketika bersembang dengan anaknya, Iskandar Zulkarnain, 21, Ahmad sering memberi tips perniagaan dan pendedahan bagi merangsang minat anaknya dalam perniagaan itu.

Iskandar Zulkarnain yang kini menuntut dalam bidang mekatronik di Australia banyak diberi pendedahan, termasuk mengikut beliau ke pameran ikan hiasan di luar negara.

“Anak menunjukkan minat dalam perniagaan ini. Selain Iskandar, anak sulung, Normazlina yang kini menyambung pengajian peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang perakaunan turut berperanan mengendalikan urusan perniagaan.

“Saya memberi gaji kepada anak dan isteri kerana mereka sama-sama menyumbang tenaga membangun dan memajukan syarikat. Pada masa terluang, saya akan meninjau kolam ikan. Isteri dan anak tidak ambil kisah kerana mereka bukan saja memahami tetapi juga menunjukkan minat sama,” katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi anaknya, Nor Aishah yang juga kembar Normazlina tidak sempat melihat kejayaannya kerana meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan kereta ketika masih menuntut di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada 2003.

Menggajikan kira-kira 50 pekerja dengan 80 peratus daripadanya adalah pekerja tempatan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya, perniagaan itu secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Petikan Metro Ahad

Million Board Sdn Bhd

Rezeki Sakit Belakang Hasnizar

Beliau bermula sebagai jurutera projek tetapi membuat perubahan drastik dalam haluan kerjayanya ketika kegawatan ekonomi melanda negara.

Satu demi satu pekerjaan dilakukan, daripada perunding jualan, 'pengusir hantu moden' hinggalah sampai satu tahap hanya mampu mencari rezeki dengan mencuci pinggan di warung selepas 'tersungkur' dalam perniagaan.

Begitupun, bak kata pepatah 'kalah bukan bererti mengalah', keperitan hidup yang pernah dilaluinya itu kini berganti dengan pencapaian membanggakan.

Pada usia 34 tahun, dia tidak lagi bergelar pekerja bawahan, sebaliknya mempunyai perniagaan sendiri dengan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Produk penjagaan tulang belakang jenama Dr Backbone keluaran syarikatnya kini 'harum' dan menjadi sebutan ramai. Puluhan ribu unit produk berkenaan dijual sejak diperkenalkan pada 2006.

Malah produk itu bukan sembarangan kerana keberkesanannya turut mendapat pengiktirafan pakar bedah Ortopedik Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Dr Mohd Ismail Maulut.

Itulah keistimewaan CEO Million Board Sdn Bhd, Hasnizar Ibrahim yang satu ketika dulu terpaksa mendepani pelbagai liku dan ranjau kehidupan untuk mengecapi nikmat kejayaan.

"Bukan calang-calang kerugian yang pernah saya alami dulu. Saya alami kerugian melebihi RM900,000 sehingga segala harta terpaksa digadai.

"Pendek kata tinggal sehelai sepinggang, sampai hendak ke mana-mana hanya mampu berjalan kaki dan mencari rezeki sebagai pencuci pinggan di warung. Pada masa lapang pula saya mendalami ilmu urutan tradisional," kata Hasnizar ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Sebelum memasuki dunia pekerjaan, Hasnizar menunjukkan ciri-ciri kepemimpinan apabila terpilih sebagai Presiden Persatuan Kejuruteraan Awam ketika melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

Dengan menggabungkan bakat kepemimpinan dan minat dalam bidang perniagaan, beliau membulatkan tekad untuk menjadi ahli perniagaan.

"Tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan awam pada 1998, saya bekerja sebagai jurutera projek tetapi kerana kegawatan ekonomi, saya membuat keputusan drastik mencari ruang untuk menjadi ahli perniagaan.

"Kalau diikutkan, dari kecil memang saya minat berniaga. Sebab itu saya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan serta pemasaran dan memulakan kerjaya dalam bidang itu," katanya.

Mengimbas kembali kenangan ketika menceburi bidang pemasaran, beliau ketika itu menjawat jawatan perunding jualan di Linguaphone Institue of London, di mana banyak selok-belok perniagaan dipelajarinya dan pada masa sama berdepan pelbagai cabaran yang hampir melemahkan semangat.

"Bayangkan, setiap hari saya berdepan lebih 20 pelanggan untuk mempromosi produk yang dijual, tetapi tiada seorang pun berminat membeli daripada saya. Ketika itu memang saya jadi lemah semangat... marah pun ada.

"Saya sedar saya masih mempunyai kelemahan untuk diperbaiki. Sebagai seorang Islam, saya memanjatkan doa supaya dimurahkan rezeki.

"Alhamdulillah berkat kesabaran dan rezeki diberi Allah SWT, selepas dua minggu, saya dapat seorang demi seorang pelanggan hinggalah saya berjaya menjadi perunding jualan terbaik," katanya.

Setahun menjadi perunding jualan, Hasnizar terus cemerlang apabila dipilih menjadi pengarah pemasaran untuk sebuah syarikat pembuatan air minuman Bumiputera pada 1999 berjenama MANJA.

Di syarikat itu beliau berjaya mendapatkan kontrak tempahan air sebanyak dua juta tin setiap bulan, sekali gus menjadikan masa depannya semakin cerah.

Menyedari mempunyai keupayaan untuk berniaga sendiri, Hasnizar meninggalkan syarikat itu dan menjadi rakan kongsi untuk satu perniagaan berasaskan produk capal.

Hanya dalam tempoh lapan bulan, bibit-bibit kegagalan membelenggunya dan dia keluar mencuba perniagaan baru iaitu sejenis cendawan antikanser, tetapi masih belum mencapai kejayaan membanggakan.

Hasnizar mengakui ketika itu dia belum matang dalam dunia perniagaan.

"Maklumlah, ketika itu saya masih muda. Ilmu perniagaan pula belum cukup, menyebabkan saya hanya mampu bertahan dalam tempoh singkat. Saya juga jenis yang jujur dan pernah disindir 'budak hingusan' dalam perniagaan," katanya.

Sejak itu Hasnizar bagai hilang arah dan tujuan. Dia bekerja mencuci pinggan di sebuah warung dengan gaji RM15 sehari dan mendalami ilmu urutan tradisional pada waktu lapang.

Tiga bulan selepas itu Hasnizar beralih arah apabila memilih kerjaya sebagai 'pengusir hantu moden' dengan menggunakan kaedah teknologi sains dan tradisional.

"Memang melucukan, tetapi realitinya itu yang saya lakukan. Setiap hari mencari hantu dan mengenakan yuran untuk setiap perkhidmatan diberi. Ada pelanggan, tetapi saya fikir sampai bila saya nak buat kerja itu," katanya.

Pada 2006 Hasnizar memberanikan diri bertatih kembali dalam dunia perniagaan. Bermodalkan wang sebanyak RM3,000 yang dipinjam daripada sepupunya, dia memulakan perniagaan produk penjagaan tulang belakang.

Hasnizar berkata, ilham untuk menjalankan perniagaan itu tercetus hasil daripada apa yang berlaku kepada dirinya.

"Dari zaman kanak-kanak, rakan sebaya memang mengenalinya dengan bentuk badan yang membongkok. Semua itu ada kaitan dengan tulang belakang.

"Apabila ke surau ke masjid untuk menjalani ibadat dan mendengar ceramah, saya selalu berasa sakit belakang akibat duduk terlalu lama. Sejak itu saya banyak membaca buku dan mengkaji di Internet mengenai hal tulang belakang dan tercetuslah ilham untuk menjual produk berkaitan penjagaan tulang belakang," katanya.

Begitupun, laluan untuk Hasnizar memasarkan produk itu tidak semudah disangka kerana dia perlu bertungkus lumus mendapatkan pelanggan.

"Pengunjung pasar malam tempat saya berniaga tidak menunjukkan minat terhadap produk saya apabila diberitahu ia keluaran tempatan.

"Begitupun saya tidak putus asa dan terus berusaha meyakinkan pengunjung sehingga dapat menjualnya kepada beberapa pelanggan," katanya.

Menurut Hanizar, dia mula menjual produk itu tanpa jenama di pasar malam Uptown Danau Kota dan Seri Gombak, tetapi sambutannya hambar sehingga beliau mendapat khidmat nasihat daripada Dr Mohd Ismail Maulut, doktor pakar bedah ortopedik yang banyak memberi cadangan dan pendapat supaya produk itu mencapai standard antarabangsa.

Hasnizar berkata, dia terus berusaha membangunkan perniagaannya dengan menggunakan jenama 'Dr Backbone' dan mempromosi produk itu di pelbagai tempat, termasuk stesen minyak dan kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara Selatan dan pusat beli-belah sekitar Lembah Klang.

"Waktu tidur saya ketika itu hanya dua atau tiga jam. Begitupun, Alhamdulillah usaha berterusan yang dilakukan itu melonjakkan jualan produk berkenaan.

"Hasilnya saya mampu beroperasi di pejabat sendiri, mempunyai kakitangan sendiri, ada kilang yang mengkhusus kepada pembuatan produk dan pengedar juga semakin bertambah," katanya.

Menurut Hasnizar, syarikatnya menjalankan usaha penyelidikan dan pembangunan yang berterusan bagi terus meningkatkan mutu produk.

"Doa ayah dan ibu serta kedua-dua mentua menjadikan saya mampu ada di tahap seperti hari ini. Bagaimanapun, perjalanan untuk saya melakar kegemilangan dalam dunia perniagaan masih panjang.

"Saya turut berterima kasih kepada Dr Mohd Ismail Maulut, bapa angkat Syed Hussein Al-Attas dan Datuk Dr Fadzilah Kamsah yang selama ini banyak memberi sokongan. Paling utama isteri yang sentiasa memberi semangat," katanya.

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Hasnizar Ibrahim

UMUR: 34 tahun

ASAL: Kampung Jerjak, Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Awam (1998), Diploma Pemasaran Universiti Malaya (2003)

JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Million Board Sdn Bhd

ISTERI: Nur Hafiza Zakaria


Tips Usahawan Kreatif 

Hasil Produk Minuman Kalsium
Million Board Sdn Bhd merancang memberi keutamaan kepada siswazah muda yang menganggur dan ibu tunggal menceburi dunia perniagaan.

Hasnizar berkata, golongan terbabit dipelawa menjadi pengedar produk Dr Backbone yang diyakini mampu memberi keuntungan tinggi.

"Kita tawarkan modal rendah untuk mereka tetapi pulangannya lumayan. Ini kita lakukan sebagai satu tanggungjawab untuk membantu golongan terbabit menjana pendapatan menerusi bidang perniagaan.

"Bukan saja perniagaan, tetapi pada masa sama kita membantu daripada segi memberi kesedaran mengenai kepentingan penjagaan tulang belakang," katanya.

Menurut Hasnizar, syarikatnya turut mempelawa mana-mana organisasi bekerjasama dengan syarikatnya sejajar dengan usaha untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

"Pada masa sama, dari semasa ke semasa kita akan mengadakan lebih banyak lagi seminar dengan kerjasama pakar bagi memperkenalkan produk dan membuktikan kelebihannya.

"Kita juga akan mempergiatkan usaha mempromosi peluang perniagaan untuk produk berkenaan," katanya.

Menurut Hasnizar, jenama Dr Backbone akan diperluaskan, bukan hanya semata-mata kepada produk penjagaan tulang belakang.

"Pada awal 2010, kita merancang mengeluarkan produk minuman kalsium dengan pelbagai perisa yang mampu memenuhi selera semua jantina, peringkat umur dan kaum.

"Jika diikutkan banyak lagi perancangan kita, tetapi kita akan lakukannya secara berperingkat demi memastikan apa yang dihasilkan berkualiti dan berkesan," katanya.

Produk Dr Backbone kini boleh dimiliki dengan pilihan tujuh warna bingkai daripada kulit bagi memenuhi cita rasa pelanggan.

Ia mempunyai ketahanan dan jaring teknologi tinggi yang mampu menampung bebanan pengguna seberat 198 kilogram.

Produk yang mendapat pengiktirafan paten reka bentuk industri harta intelek pada April lalu itu dijamin tahan sekurang-kurangnya dua tahun serta berkualiti. Maklumat lanjut mengenai Dr Backbone boleh diperoleh di www.drbackbone.com.
 
Petikan Metro Ahad

Sani United Sdn Bhd

Rakan Karib Inspirasi Sani

Pada usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.

Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.

“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.

Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan.

Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express.

Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.

Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.

Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.

“Biasalah... dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.

“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.

Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu.

Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.

“Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.

“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.

Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.

Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.

“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.

“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.

Ketika memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.

Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.

“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya.

Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.

“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.

“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.

Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.

Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.

“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?

“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.

Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.

Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta.

Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.

Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan.

Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.

“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.

“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.

Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.

Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.

“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.

“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.

“Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya.

Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.

“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

“Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.

Profil Usahawan Kreatif

Nama : Datuk Wan Mohammad Sani Salleh

Usia : 33 tahun

Lahir : 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu

Adik Beradik: Keempat daripada enam beradik

Pendidikan : Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)

Jawatan : Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd).

Pencapaian : Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)


Tips Usahawan Kreatif
SANI Express mensasarkan untuk memiliki 100 bas dan meneroka semua laluan di negara ini dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Sani, sebanyak RM100 juta akan dilabur untuk tujuan itu dan beliau mensasar untuk memiliki 500 kakitangan dalam tempoh berkenaan.

“Ketika ini Sani Express menggunakan sepenuhnya 25 bas dua tingkat dan untuk tempoh tiga tahun saya mensasar untuk memiliki 100 bas dengan meneroka semua laluan di negara ini.

“Saya optimis dengan sasaran itu bersandarkan pencapaian Sani Express ketika ini. Malah sehingga hari ini pelaburan yang dibuat untuk pelbagai keperluan, antaranya membeli bas baru dan bangunan Wisma Dato’ Sani, mencecah RM50 juta,” katanya.

Sani berkata, wisma berkenaan bukan sekadar menjadi pusat pentadbiran syarikat, tetapi pertemuan kakitangan pelbagai peringkat.

“Saya memilih lokasi wisma itu yang terletak di Klang Sentral kerana ia perhentian terakhir untuk bas Sani Express. Di situ saya berpeluang bertemu semua kakitangan dan membantu saya mengetahui dan menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul,” katanya.

Wisma yang turut dilengkapi pusat latihan itu membantu Sani United Sdn Bhd memiliki kakitangan yang dapat melaksanakan tugas dengan efisien.

“Saya turut mengutamakan latihan kepada pemandu bas supaya semua pemandu bas Sani Express membabitkan pemandu berhemah. Pemandu bas sangat penting kerana mereka membawa ‘nyawa’.

“Ia juga sebagai satu keyakinan kepada pelanggan bahawa Sani Express bukan saja mengutamakan keselesaan tetapi juga sangat mengutamakan keselamatan pelanggannya,” katanya.

Petikan Metro Ahad

Kaprima Livestock Sdn Bhd

Jasmin Usahawan Kreatif, Inovatif


Tempoh lima tahun mungkin singkat bagi sesetengah usahawan untuk membina nama, namun bagi Pengarah Urusan Kaprima Livestock Sdn Bhd, Jasmin Jasin, 50, masa sesingkat itu cukup bagi menobatkan dirinya antara Bumiputera yang ada kelas tersendiri.

Jasmin bukan saja layak digelar usahawan ternakan kambing berjaya, malah seorang yang kreatif dan inovatif dengan perniagaan yang kini menjadi contoh dan ikutan usahawan lain.

Beliau bukan hanya menternak kambing dengan jumlah pernah mencecah sehingga 1,500 ekor, tetapi turut menjalankan pelbagai aktiviti lain seperti tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, kolam ikan, chalet, penternakan cacing dan restoran Kaprioti Countryside yang menyajikan hidangan daging kambing segar.

Syarikatnya turut menjalankan kursus dan latihan kepada usahawan yang berminat menceburi bidang berkenaan, selain memproses baja daripada tahi kambing dengan nama Kaprima Bio.

Hasil usahanya membangunkan pelbagai cabang perniagaan itu, dalam tempoh empat tahun, Jasmin diiktiraf melalui penerimaan tiga anugerah, termasuk yang tertinggi Anugerah Peladang Jaya Kebangsaan dua tahun lalu.

Pasti terdetik di fikiran, bagaimana dalam tempoh singkat beliau boleh menjalankan pelbagai aktiviti, apatah lagi pada masa sama kerap menjelajah seluruh negara mengembangkan perniagaan, termasuk memberi ceramah.

Melayari kehidupan anak kelahiran Taiping, Perak itu, memang beliau seorang yang aktif atau dalam erti kata lain tidak boleh duduk diam. Antaranya, hasrat menemui bapa tujuh cahaya mata itu bagi mengisi ruangan ini beberapa kali tertangguh kerana kesibukannya.

Selain itu, yang menarik mengenai Jasmin, beliau antara pelopor kepada kelahiran baka kacukan kambing yang diberi nama Kaprima atau Kambing Prime Malaysia hasil kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH).

Kaprima adalah campuran baka Boer dan Jamnapari yang dikacukkan dengan kambing tempatan yang ‘lahir’ pada 2002. Ia boleh disembelih pada usia enam bulan.

Di samping itu, syarikat Jasmin menjadi perintis dalam menjalankan projek ternakan kambing Kaprima secara komersial. Malah, sistem Kaprima yang diperkenalkan pada 2000 menjadi model yang kini dipraktikkan di seluruh negara.

“Melalui sistem Kaprima, kambing diternak secara feedlot atau dikurung dalam kandang dengan memberi makan dedak dan rumput. Ia dilepaskan satu atau dua jam sehari. Sehingga kini lebih 1,500 orang mengikuti kursus di Kaprima, sekali gus mempraktikkan sistem ini di tempat masing-masing,” katanya.

Jasmin berkata, idea mengacukkan kambing tempatan dengan import itu timbul pada 1999 apabila melihat banyak kambing tempatan terbiar begitu saja, selain saiz fizikal yang kecil.

“Waktu itu industri kambing sedikit malap tetapi potensinya besar kerana semua bangsa memakan daging kambing. Melihat potensi yang ada, saya bekerjasama dengan JPH menjalankan kajian sehingga Kaprima dihasilkan,” katanya.

Menurutnya, Kaprima dengan berat antara 30 ke 50 kilogram mempunyai daging rendah lemak dan kolestrol, kaya vitamin B12, lembut, enak serta tidak berbau.

Kini baka Kaprima menjadi pilihan kerana ia menawarkan daging muda yang mengandungi peratus protein tinggi dan boleh disembelih pada usia enam bulan berbanding 12 bulan sebelum ini.

Nampak seperti mudah, namun kata Jasmin, cabaran untuk ada pada tahap hari ini sangat berliku.

“Bukan mudah untuk kendalikan kambing, apatah lagi mahu menukar daripada sistem lepas bebas kepada berkurung kerana ia mengambil masa. Saya juga pernah menghadapi cabaran serangan penyakit, kematian dan kakitangan bertukar, sekali gus menimbulkan masalah serta kos yang semakin meningkat,” katanya.

Antara dugaan dilaluinya ialah kematian hampir 110 ekor kambing daripada 450 ekor Jamnapari yang diimport dari Indonesia, selain jangkitan penyakit dan kematian dua hingga tiga ekor setiap hari.

Namun kerana minat selain berbekalkan pengalaman puluhan tahun sebagai Pembantu Veterinar Kanan di JPH, Jasmin berjaya menghadapi setiap masalah.

Sepanjang 21 tahun di JPH beliau terbabit dalam pelbagai bidang, antaranya tenusu, latihan dan penternakan lembu pedaging dalam kelapa sawit. Meskipun ia dilihat memberi kelebihan kepada Jasmin, namun seperti orang lain, beliau yang bersara pilihan pada Januari 2000 belajar dari bawah dan mengikuti kursus.

Menurut Jasmin, dia tidak pernah terfikir satu hari nanti menjadi usahawan, namun minat berniaga ada dalam diri sejak kecil.

“Saya dilahirkan dalam keluarga susah, emak dan ayah pesawah padi, selain ada membela 20 ekor kambing. Di rumah, kami dengan jumlah adik-beradik 12 orang hanya bertemankan pelita minyak tanah dan mandi air perigi.

“Hendak ke sekolah, saya kayuh basikal sejauh 14 kilometer pergi. Pada masa lapang, saya berniaga jual buah di pasar malam, selain membantu ayah mengembala kambing,” katanya.

Minat berniaga diteruskan apabila dia menyertai JPH pada 1979. Sepanjang tempoh itu, Jasmin pernah bercuti tanpa gaji selama tiga bulan dan setahun untuk menjalankan perniagaan penjualan produk IKS (industri kecil dan sederhana) serta menternak lembu dalam ladang kelapa sawit.

Pada akhir 1990-an, Jasmin mendapat idea untuk membuat R&D (penyelidikan dan pembangunan) dalam industri ternakan kambing sebelum mengambil keputusan bersara pilihan pada 1 Januari 2000.

Kini nama Kaprima semakin dikenali di seluruh negara, malah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tahun lalu menjadikan Kaprima sebagai perintis kepada pusat pengumpulan Boer terbesar di negara ini dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab daging halal di rantau ini.


Profil Usahawan Kreatif

Nama : Jasmin Jasin

Usia : 50 tahun

Lahir : 31 Mei 1958 di Taiping, Perak

Jawatan : Pengarah Urusan Kaprima LiveStock Sdn Bhd

Isteri : Sapiah Samad

Anak : Suzana (26); Siti Hawa (25); Suzilawati (24); Nurakmar (22); Nurul Ashikin (17); Nurul Huda (16) dan Muhammad Hafiz Al Hakim (5)

Pendidikan : Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Dew, Simpang Emapat, Semanggol Perak; Sekolah King Edward VII, Taiping, Perak dan Institut Veteriner, Kluang, Johor

Anugerah : Anugerah Peladang Jaya Negeri Melaka 2005/2006; Anugerah Usahawan Jaya Peladang Mara 2006 dan Anugerah Peladang jaya Kebangsaan (Kategori Lelaki) 2006


Tips Usahawan Kreatif

Sistem Integrasi Tanaman Jana Pendapatan Tambahan
“Mereka yang hendak menceburi bidang ini (ternakan) mesti ada perasaan kasih dan sayang pada haiwan ternakan. Seperti manusia, kambing perlu dibelai dan dimanjakan, selalu bercakap serta bertanya khabar.

“Jika tiada sifat berjiwa ternakan atau fikir mahu buat duit saja, lupakan kerana ia mengundang pelbagai kerumitan kemudian hari,” kata Jasmin ketika ditanya rahsia untuk menceburi industri penternakan.

Menurutnya, menjaga kambing bukan seperti menjaga manusia yang boleh berkata-kata kerana haiwan berkenaan hanya bertindak melalui gerak-geri fizikal.

“Jika kita selalu pukul kambing ini, apabila kita datang atau dekat, kambing itu akan lari dan kerana itu kita perlu mengenali sifat haiwan ini sebelum menternak,” katanya

Jasmin berkata, menternak kambing memerlukan ilmu, apatah lagi bila timbul masalah seperti penyakit dan kematian.

“Kematian kambing tidak dapat dielakkan, malah saya pernah menghadapi keadaan itu apabila dua hingga tiga ekor mati sehari. Jadi sebelum ia berlaku, kita sebagai penternak perlu tahu sebab atau punca dan menangani masalah yang wujud.

“Biasanya kambing di negara ini mengalami masalah seperti najis cair, demam dan sejuk paru-paru. Apabila berpenyakit, ia perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti JPH supaya tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.

Jasmin turut menyarankan kepada penternak atau mereka yang hendak berjinak dalam industri ini supaya menjalankan sistem integrasi tanaman daripada hanya menjalankan satu bisnes saja iaitu menternak kambing.

Katanya, melalui cara itu penternak tidak bergantung kepada satu sumber untuk memperoleh pendapatan, sebaliknya mampu menjana pendapatan tambahan melalui penggunaan tanah secara maksimum selain mengurangkan kos.

“Jika kita hanya menternak kambing, untuk menunggu pulangannya ia memakan masa sehingga dua tahun. Dalam tempoh itu kita memerlukan modal untuk operasi harian seperti makanan, ubat-ubatan, penjagaan dan sebagainya.

“Melalui sistem integrasi tanaman ini, tanah yang tidak digunakan kita boleh usahakan tanaman yang ada hubung kait dengan kambing seperti jagung, yang mana batang dan daunnya boleh dimakan kambing.

“Atau kita boleh usahakan dengan tanaman berdaun hijau lain yang sesuai untuk kambing. Selain boleh dijadikan makanan, tanaman ini boleh dijual dan ia memberi pendapatan tambahan kepada penternak,” katanya.

Sistem itu dipraktikkan di kawasan miliknya seluas 5.2 hektar apabila 1.2 hektar digunakan untuk penternakan kambing dan bakinya sebagai kawasan pertanian dan perikanan.

Jika ke ladangnya di Bukit Bulat, Alor Gajah, Melaka, pelbagai projek dijalankan di sini. Selain penternakan kambing, ada juga diusahakan penternakan cacing, lembu, itik, tanaman betik, pisang, buah naga, jambu air, itik, kolam ikan keli dan talapia serta chalet yang dibina khas untuk pengunjung menginap, sekali gus menikmati suasana aman dan tenteram.

Petikan Metro Ahad

TagerMedia Sdn Bhd

Tiga Bulan Untung Setengah Juta


Andai disamakan perkembangannya dengan seorang bayi yang baru berusia dua setengah bulan, pergerakannya hanya mampu mengiring atau paling pantas pun meniarap.

Namun, apabila situasi itu diterjemahkan kepada syarikat TagerMedia Sdn Bhd (TMSB) yang 'lahir' pada 31 Ogos lalu, keupayaannya melebihi jangkaan malah tidak melambangkan usia sebenar.

Mereka pantas berjalan dan semakin laju berlari dengan pengenalan laman web Blogstarz.My - platform pertama di dunia mengetengahkan Blog dan jaringan perniagaan internet yang dilayari atau mencecah 500,000 hit dari seluruh dunia setiap hari.

Pengenalannya hampir tiga bulan lalu berjaya menarik 1,000 blogger baru untuk turut serta malah syarikat berjaya mencatat keuntungan mencecah RM500,000 sebulan melalui pakej blogger dan pengiklanan.

Menariknya, kewujudan TMSB yang mempunyai modal berbayar RM5 juta membuktikan keupayaan dan kejayaan syarikat diasaskan anak muda berusia 35 tahun dari Pekan, Pahang, Karl Iskandar Awang.

TMSB adalah anak syarikat Overseas Delight Group of Companies yang berpengalaman lapan tahun dalam dunia teknologi maklumat (IT) sejak ditubuhkan pada 2001. Selain TMSB, syarikat diasaskan Iskandar itu mempunyai empat anak syarikat lain yang berkaitan internet.

Mungkin bunyinya 'gempar', ada lima anak syarikat selain dalam tempoh singkat berjaya memperoleh hasil hampir setengah juta ringgit sebulan namun bagi Karl Iskandar atau Iskandar, ia bukan mustahil.

"Pada awalnya saya memperkenalkan blog ini untuk membantu mereka yang tidak arif mengenai dunia IT tetapi lama kelamaan ia boleh 'buat duit'.

"Selain boleh mencari kenalan di seluruh dunia, blog ini juga memberi pendapatan sampingan seperti menjual barangan atau perkhidmatan, komisen daripada pengenalan blogger, menjual lot pengiklanan atau menganjurkan pertandingan kuiz seperti SMS (khidmat pesanan ringkas).

"Paling menarik, dalam tempoh setengah jam, mereka yang tidak tahu IT sudah boleh memahami dan memiliki blog sendiri, semudah A,B,C," katanya.

Pendapatan syarikat selain jumlah blogger dan hit yang semakin bertambah saban hari antara berita menarik didengar namun siapa tahu di sebalik semua itu, Iskandar bersama rakan kongsi, Ramdhan Ismail, 31, melalui tempoh memeritkan.

Meninggalkan anak isteri di rumah sebaliknya berkampung di pejabat berhari-hari, mengenal pasti kelemahan yang wujud selain menjadikan internet 'teman istimewa' setiap hari antara cabaran dan pengorbanan dilalui kedua-duanya.

"Kami bertemu secara tak sengaja di internet pada 2005, Ramdhan pakar dalam perisian IT dan saya pula dalam latihan dan pemasaran IT. Idea timbul apabila kesukaran untuk belajar IT.

"Jadi, saya terfikir mengapa tiada cara mudah untuk belajar dan pertemuan dengan Ramdhan membuka jalan apabila kami pada 2006 menjadi rakan kongsi seterusnya membuat kajian serta penyelidikan selama dua tahun sebelum lahirnya Blogstarz.My," katanya.

Sebelum serius membangunkan laman web Blogstarz, Iskandar terbabit dalam pelbagai kerjaya antaranya perbankan, hartanah dan perhotelan.

Dalam melayari kehidupan, Iskandar pernah mengalami zaman kejatuhan seiring dengan kegawatan ekonomi pada 1997 ketika dia bekerja di sebuah syarikat hartanah. Beberapa rumah dan kereta tergadai kerana hendak membayar hutang.

Malah, kehidupan yang dulunya selesa, bertukar sekelip mata sehingga dia terpaksa menyewa di rumah rakan berikutan rumah yang ada terpaksa digadaikan.

"Saya pulang ke Malaysia pada 1994 selepas tamat belajar di Amerika Syarikat (AS) dan mendapat kerja di sebuah bank. Selepas enam bulan, saya berhenti dan bekerja pula dengan sebuah syarikat hartanah.

"Pada masa itu, memang boleh buat duit namun apabila kegawatan ekonomi berlaku pada 1997, saya turut terkena tempiasnya sehingga terpaksa menjual rumah dan kereta.

"Selepas itu, saya menyewa di rumah rakan selama setahun sebelum berhenti dan bekerja di sebuah hotel dalam bidang pengurusan," katanya.

Selepas dua tahun mengutip pengalaman di hotel, Iskandar mengambil keputusan berhenti kerja untuk membuka syarikat pembinaan laman web. Melalui syarikat itu, beliau menganjurkan kelas IT dan pernah memiliki 100 pelajar pada satu masa.

Setahun kemudian, Overseas Delight Group of Companies yang terbabit dalam industri laman web dan perisian ditubuhkan sehingga Iskandar menemui Ramdhan pada 2005 sebelum bekerjasama mewujudkan Blogstarz.My Ogos lalu.

"Bukan mudah untuk saya perkenalkan dunia internet yang ketika itu boleh dikatakan baru di negara ini tetapi sudah lama dipraktikkan di negara luar khususnya AS. Daripada situ, wujud idea untuk memudahkan seseorang melayari internet dan gabungan idea dengan Ramdhan berjaya menghasilkan Blogstarz ini," katanya.

Berdasarkan pengalaman Iskandar, perniagaan bukan perkara baru bagi dirinya malah semangat berniaga itu diwarisi daripada moyang yang juga peniaga berasal dari Kampar, Sumatera.

Ketika usia 12 tahun, Iskandar bekerja di pasar malam menjual murtabak dengan pendapatan RM10 semalam. Wang yang ada digunakan untuk perbelanjaan sekolah selain membantu adik-beradik lain.

Sebagai abang sulung daripada sembilan beradik (kakak sebelumnya), anak kepada pasangan Awang Daru dan Rahani Mohamad itu dididik untuk hidup berdikari.

"Hidup keluarga saya sederhana, ayah bekerja sebagai posmen manakala emak suri rumah. Jadi peluang bekerja dengan orang di pasar malam tidak saya lepaskan kerana selain dapat bantu adik-adik, duit ini juga untuk perbelanjaan sekolah saya," katanya yang bekerja dari darjah enam hingga tingkatan lima.

Meskipun dilahirkan dalam keluarga besar, itu tidak menjadi halangan Iskandar untuk mencatat kecemerlangan dalam akademik sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke AS.

"Saya tidak pernah terfikir ada pada tahap ini sekarang namun bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan-Nya," katanya.


Profil Usahawan Kreatif

Nama : Karl Iskandar Awang

Usia : 35 tahun

Lahir : 28 Julai 1973 di Pekan, Pahang

Jawatan : Pengasas dan Pengarah Urusan Overseas Delight Group of Companies

Anak Syarikat :
1) Overseas Delight Sdn Bhd (Perisian komputer dan latihan)
2) TagerMedia Sdn Bhd (Blogstarz.My)
3) Maca International Sdn Bhd (e-shopping)
4) Boss Management Resources (Latihan perniagaan dan motivasi)
5) Overseas Do Work Solution (Rakan perniagaan bisnes)

Nama Isteri : Zuhainis Lazim
Anak-anak : Izzul Amaris, 7 tahun, Rifky Affiqal, 16 hari

Pendidikan:

1) Sekolah Rendah Kebangsaan Ahmad, Pekan
2) Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad, Pekan
3) Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan University of California Los Angeles (UCLA)
4) Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan UCLA

Hobi : Membaca dan melayari internet


Tips Usahawan Kreatif

Jana Pendapatan, Tingkat Pengetahuan IT
Semudah A, B dan C serta boleh memperoleh pendapatan RM300 sehari! Itu antara kelebihan laman web Blogstarz.My yang kini mendapat sambutan menggalakkan bukan hanya di negara ini tetapi juga Singapura, Brunei, Indonesia dan bakal ke peringkat global.

Iskandar berkata, melalui laman web berkenaan, ia bukan sekadar menjana pendapatan tetapi meningkatkan pengetahuan dalam dunia teknologi maklumat (IT) serta meluaskan jaringan kenalan di seluruh dunia.

Katanya, Blogstarz menyediakan platform pembangunan blog mudah, cepat dan mampu memberi pulangan lumayan sesuai untuk semua peringkat terutama mereka yang tidak arif atau buta IT.

"Sejak diperkenalkan di internet pada 31 Ogos tahun ini, 1,000 blogger menyertai kami dan hari ini jumlah hit diterima mencecah 500,000 setiap hari.

"Malah, merujuk kepada penyedia carta web dunia, www.alexa.com, dalam tempoh kurang dua bulan, kedudukan Blogstarz di seluruh dunia daripada tangga 25 juta meningkat ke sejuta dan terbaru naik hingga ke 700,000," katanya.

Iskandar yang mempunyai rangkaian kenalan setengah juta di seluruh dunia, berkata walaupun Blogstarz bakal dilancarkan besar-besaran 1 Januari 2009, sambutan diterima semakin meningkat malah kursus yang dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan.

"Meskipun baru beberapa bulan diperkenalkan, saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua blogger. Sebenarnya blog ini bukan saja tempat untuk kita menulis atau meluahkan perasaan tetapi juga boleh menjual barangan atau perkhidmatan selain membantu daripada segi pengiklanan," katanya.

Menurutnya, pendapatan diperoleh melalui hasil perniagaan yang diiklankan di laman blog seseorang, komisen pengenalan blogger, menjual lot pengiklanan, servis khidmat pesanan ringkas (SMS) atau penganjuran kuiz.

Untuk menjadi Blogger melalui Blogstarz, mereka yang berminat boleh memilih pakej bermula RM99 sebagai Blogger biasa; RM297 (Associate); RM693 (Manager) dan RM1,485 (Presiden).

Setiap pakej berbeza daripada segi jumlah kredit SMS diperoleh, jumlah iklan teks yang boleh dibuat, jumlah kata kunci SMS bagi menjalankan perniagaan IODSMS seperti AFUNDI dan Info Solat serta peratusan keuntungan Clickshare (perkongsian daripada keuntungan pengiklanan yang diperoleh Blogstarz secara keseluruhan).

Sebagai contoh kata Iskandar, jika memilih pakej RM99, pelanggan memperoleh sistem BulkSMS dengan jumlah kredit sebanyak 50 SMS; blog sendiri; bonus pelantikan blogger serta menjual barangan atau perkhidmatan bersesuaian.

Untuk komisen setiap Clickshare, katanya, pelanggan boleh memperoleh komisen antara satu sen sehingga USD$50 (RM175). Sebagai contoh, jika sesuatu iklan itu dibuka atau diklik 10,000 kali, pelanggan memperoleh komisen RM100.

Selain itu, orang ramai juga boleh merebut peluang perniagaan sebagai Master Center bermodalkan RM3,399; State Centre (RM25,000) dan Regional Centre (RM50,000) dengan potensi keuntungan lumayan.

"Rugi jika peluang dan kepakaran yang ada tidak dimanfaatkan sebaik mungkin khususnya Bumiputera kerana kita bukan saja ada latihan dan bantuan teknikal tetapi ada ruangan forum perbincangan mengenai pelbagai topik.

"Saya juga menyeru kepada pengiklan terutama syarikat besar supaya mengiklankan produk mereka dalam blog ini kerana ia mudah, cepat dan praktikal," katanya.

Untuk menghadiri taklimat Blogstarz, sila daftar melalui SMS, taip jarakjarakjarakjarak dan SMS ke 32300.

Mereka yang berminat juga boleh hubungi Nazif Mansor (Pengurus Pemasaran) di talian 012-9072143 atau datang terus ke pejabat TagerMedia Sdn Bhd di No: 20-1 Jalan 1/76D, Desa Pandan, Kuala Lumpur. Selain itu, boleh juga hubungi 03-92859977 dan faks ke 03-92849977 atau Hotline 1-300-88-9977.

Petikan Metro Ahad

Jamu Mak Dara Sdn Bhd

Amalan Ibu Pencetus Kejayaan


Kata peribahasa, 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'. Kata-kata itu sesuai ditujukan kepada dua beranak, Halimah Shuib dan Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali.

Siapa sangka, dengan hanya satu produk - Jamu Mak Dara, ia menjulang nama kedua-duanya, malah dalam tempoh dua tahun kewujudannya, produk itu terus mencatat prestasi mengagumkan. Bermula dari satu paket jualan pada 2006, ia kini mencecah minimun 300 botol sehari.

Barangkali mungkin ramai mengenali jenama Jamu Mak Dara - produk berasaskan herba yang direka khusus untuk wanita dan lelaki bagi meningkatkan prestasi kesihatan.

Bagi yang menggunakan jamu itu, pasti terbayang wajah pengasasnya, Halimah Shuib dan mungkin menjadikan wanita ini sebagai contoh. Meskipun usianya 65 tahun, susuk tubuhnya persis anak dara, malah masih menawan dan ada tarikan.

'Penangan' Jamu Mak Dara membuatkan Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd (JMDSDN) yang juga anak keempat Halimah, Syed Muhammad Gadaffi, 35, tidak duduk diam.

Mungkin ini yang dikatakan rezeki dan tuah yang diiringi dengan kesabaran tinggi. Siapa menduga dua beranak itu yang pernah hidup melarat kini meniti kejayaan.

"Saya bersama ibu pernah berkongsi makan mee segera, tidak mampu bayar sewa rumah, bengkel membaiki kereta dijadikan rumah selama tiga tahun, tumpang rumah orang dan paling menyedihkan, ibu tidur dalam 'stall' (gerai tolak) selama dua tahun manakala saya tumpang tidur di rumah rakan berbangsa Cina," katanya yang dikenali sebagai Abib.

Melayari hidup anak kelahiran Kuala Lumpur (KL) itu, Abib dibesarkan di Selayang sebelum pulang ke kampung di Rengit, Batu Pahat, Johor untuk tinggal bersama nenek sementara ibunya bekerja di Genting Highlands sebagai tukang masak.

Kehidupannya sejak kecil hingga besar, mendidik Abib untuk berdikari. Pada usia sembilan tahun, Abib membantu ibunya menjual kuih-muih di Sekolah Rendah Kebangsaan Selayang Baru, Selayang.

Abib pernah dimarahi guru kerana berniaga, namun itu tidak mematahkan semangatnya mencari rezeki, malah dia mula menjual seawal jam 4 pagi di pintu pagar sekolah bagi mengelak dikenakan tindakan.

Ketika di Sekolah Menengah Batu Pahat, selain menjual kuih-muih, selepas waktu sekolah Abib bekerja di kedai makan dari tingkatan 1 hingga 5 bermula jam 3 petang hingga 2 pagi.

"Ketika di Rengit, ibu bekerja di Genting highlands, jadi saya urus diri sendiri. Untuk dapat duit belanja, saya kerja di kedai makan dengan gaji RM1 sehari.

"Duit yang ada saya guna beli buku, baju dan kelengkapan diri. Yuran sekolah juga saya bayar sendiri dengan duit ini dan ada juga minta bantuan guru untuk tolong jelaskan.

"Untuk jimat belanja, saya goreng lebihan makanan di kedai dan simpan untuk dibawa sekolah atau bawa bekal sekeping coklat sementara air paip dijadikan minuman," katanya.

Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), Abib berhijrah semula ke KL seorang diri dan ada cerita menarik yang disimpan rapi dalam kotak fikirannya selama ini.

"Saya ke KL berbekalkan RM30 saja iaitu duit gaji yang dikumpul selama 30 hari kerja di kedai makan. Saya naik bas dan dampai di Hentian Pudu Raya jam 4 pagi. Kebetulan ada operasi pihak berkuasa untuk menahan pendatang asing.

"Saya ditahan dan tak tau hendak ke mana, jadi seorang anggota polis mengajak saya tinggal sementara di kuaters polis Dang Wangi. Ketika itu ibu bekerja di istana Brunei sebagai tukang masak.

"Selama empat bulan saya tinggal di sana tapi bukan duduk saja, saya masak, basuh dan gosok baju serta kemas rumah. Mereka baik hati, malah beri duit belanja," katanya.

Selepas menetap lama di rumah itu, Abib berpindah ke rumah seorang rakan berbangsa Sikh di Sentul dan tinggal di situ hampir tujuh bulan.

Adib memujuk ibunya di Brunei supaya pulang ke KL dan apabila Halimah sampai di ibu kota, mereka berdua tidur di bekas bengkel kenderaan milik bapanya. Beralaskan kertas surat khabar serta lantai dan dinding yang ada kesan cat hitam, dua beranak itu hidup di sana selama tiga tahun.

"Dalam tempoh itu, saya bekerja sebagai penjual cadar. Ibu pula membeli gerai untuk berniaga menjual nasi campur. Masa itu memang sukar, sudahlah kami ditipu apabila membeli gerai berharga RM2,700 sedangkan harga sebenarnya hanya RM1,500, malah untuk dapatkan lesen sangat sukar sehingga saya terpaksa bermalam di depan bangunan DBKL untuk berbuat demikian," katanya.

Ketika masing-masing rancak bekerja, bengkel berkenaan diambil semula tuan tanah. Abib terpaksa menumpang tidur di rumah rakan berbangsa Cina manakala ibunya tidak mahu ikut sama, sebaliknya tidur di dalam gerai tolak terbabit.

"Ibu tidak mahu tidur di rumah rakan saya kerana berlainan bangsa dan dia sendiri buka kedai 24 jam sehari. Dia sanggup tidur di dalam gerai itu, malah untuk mendi pula dia terpaksa pergi ke hotel berdekatan dan perlu membayar RM1," katanya.

Selama dua tahun mereka hidup dalam keadaan begitu sehingga Abib mampu menyewa rumah di Segambut. Selepas itu Abib bekerja di Pasar Borong Online iaitu syarikat yang menjual ikan melalui internet.

Tugas Abib, dia bukan saja perlu mengambil ikan di pasar borong malah membeli ikan di pasar borong Selayang, menyiang dan menghantar terus ke rumah pelanggan.

Syarikat terbabit ditutup tidak lama kemudian dan berbekalkan pengalalaman yang ada, Abib membuka syarikat sendiri Imalimahahome yang menjalankan kegiatan sama.

"Ketika perniagaan semakain maju, kakitangan yang saya upah pula buat hal. Bukan saja dia berhutang dengna tauke ayam sebanyak RM10,000, malah van yang saya beli daripada rakan turut dilarikan.

"Ketika itu saya tak mampu nak bayar sewa rumah, malah terpaksa meminjam daripada rakan untuk bayar hutang ayam. Ketika ini saya terpaksa kongsi mi segera bersama ibu.

"Namun Tuhan Maha Kaya. Ketika saya dilanda masalah ada seorang rakan bisnes berbangsa Cina hubungi saya bertanya khabar dan apabila dia tahu masalah saya, terus dia bersetuju memberi bantuan RM6,000 sebagai modal untuk saya memulakan bisnes," katanya.

Dengan wang sebanyak itu, Abib bersama ibunya mengambil keputusan menjalankan khidmat katering, namun menghadapi masalah apabila ditipu serta lambat menerima bayaran daripada pelanggan.

Kerana menanggung beban hutang yang banyak, Abib menutup operasi katering dan kemudian menghasilkan buku resepi makanan tradisional Johor.

"Ibu ditemuramah seorang wartawan majalah mengenai buku resipi terbabit dan kemudian wartawan itu bertanya rahsia kecantikan ibu yang memiliki badan langsing dan cantuk. Kata ibu, dia amalkan jamu turun temurun dan wartawan itu berkata mengapa tidak dikomersialkan," katanya.

Berikutna itu, timbul idea menjadikan amalan Halimah memakan jamu sejak usia belasan tahun lagi sebagai satu perniagaan, malah wartwan terbabit turut menulis artikel mengenai jamu warisan itu.

"Melalui tulisan itu, ramai menghubungi untuk membeli dan kami bertungkus lumus menyediakan jamu secara paket. Kami hubungi pembaca yang menelefon dan hantar ke rumah merka tidak kira mereka minta sepaket atau banyak mana," katanya.

Abib berkata, nama Jamu Mak Dara yang digunakan itu diambil sempena nama panggilan neneknya di kampung yang dipanggil Mak Dara.

Sejak itu, perniagaan Jamu Mak Dara mendapat sambutan sehingga Abib kini berjaya membuka pejabat sendiri di Pusat Bandar Melawati, Hulu Klang.

Profil Usahawan Kreatif

Nama : Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali

Usia : 35 tahun

Lahir : 12 November 1972 di Hospital Kuala Lumpur

Jawatan : Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd dan Yabibdotcom

Pendidikan : Sekolah Rendah Kebangsaan Selayang Baru, Selayang, Selangor dan Sekolah Menengah Tun Sardon Rengit, Batu Bahat, Johor

Adik-beradik : Keempat daripada enam beradik

Tip Usahawan Kreatif

Satu Produk Baru Setiap Dua Bulan
Bukan satu, tetapi ada 12 produk keluaran syarikat Jamu Mak Dara Sdn Bhd (JMDSB) sejak ia ditubuhkan dua tahun lalu. Ini bererti, kurang dua bulan, satu produk baru dipasarkan.

Keadaan itu menunjukkan bagai ada tarikan atau boleh diibaratkan seperti 'pisang goreng panas' sekali gus membuktikan jamu itu ada pengikut sendiri.

Mengulas lanjut, Abib berkata, penggunaan herba sepenuhnya dalam setiap produk antara faktor Jamu Mak Dara jadi pilihan.

"Kami menggunakan sepenuhnya herba bagi menjamin kualiti produk. Bagi memastikan ia menepati piawaian ditetapkan, herba ini dihantar ke kilang pemprosesan di Raub, Pahang hasil kerjasama dengan syarikat Technology Park Malaysia Biotech Sdn Bhd.

"Produk kami diproses, dibungkus dan dilabel di sini selain dipantau kualiti jamu dan paling penting mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan," katanya.

Antara produk keluaran Jamu Mak Dara ialah set bersalin lengkap Ibu Halimah berbentuk serbuk dan kapsul, pilis, bedak sejuk, param, rempah mandi, bengkung, jamu pria serta kopi dan teh herba Al-Hansyee.

Ia dihasilkan daripada gabungan formula 32 jenis herba seperti misai kucing, ubi jaga, tongkat ali, manjakani, akar serapat, cabai pintal, cabai batik, halia padi, samba hantu, tahi angin, akar siak, jintan hitam dan cekor.

Abib berkata, setiap produk yang dihasilkan sangat dekat dengan kesihatan lelaki dan wanita, khususnya masyarakat Melayu.

"Setiap produk ada saling kaitan seperti set bersalin, param, rempah mandi dan bengkung. Jadi, kami gunakan herba yang ada untuk saling lengkap melengkapi," katanya.

Menurutnya, meskipun baru dua tahun beroperasi, dia mempunyai misi untuk memasarkan jamu Mak Dara ke pasaran global, terutama di Asia Barat dan Eropah.

Katanya, dua tempat itu menjadi tumpuan kerana ada pelancong dari negara terbabit sudah mencuba produknya dan menepati cita rasa mereka.

Selain itu, Abib kini dalam proses terakhir membuka sebuah spa berdekatan pejabatnya yang akan menggunakan produk Jamu Mak Dara, sekali gus menawarkan pakej atau perkhidmatan pada harga lebih rendah.

Petikan Harian Metro

Konsortium E-Mutiara

Che Ibrahim Buktikan

Melihat karismanya mengemudi sebuah syarikat pengangkutan membabitkan urus niaga jutaan ringgit serta menaungi lebih 200 pekerja, pasti ramai terkejut jika diberitahu Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail, hanya bersekolah setakat tingkatan tiga.

Bagaimanapun, Che Ibrahim, 54 tidak pernah malu dengan kenyataan itu, sebaliknya bangga kerana mampu mencipta kejayaan dikecapinya sekarang biarpun tidak menjejakkan kaki ke menara gading dan menggenggam ijazah.

Bagi bapa kepada 11 anak itu, pengalaman hidup sebagai orang tidak berpendidikan tinggi dan dibesarkan dalam keluarga nelayan yang serba kekurangan menjadikan dia cekal serta menjadi pembakar semangat kepadanya untuk menjadi insan berjaya.

"Sebelum ini saya selalu dicemuh rakan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Saya juga selalu menjadi sindiran orang ramai hanya kerana saya tak belajar tinggi.

"Namun semua itu membuatkan saya kuat serta tabah. Kesusahan hidup mendorong saya berusaha gigih untuk mengubah kehidupan," katanya.

Che Ibrahim berkata, menyedari kekurangan dirinya, beliau melihat hanya perniagaan menjadi kerjaya terbaik untuk dijadikan sumber pendapatan.

"Jadi, sejak usia belasan tahun lagi saya mula-mula berniaga secara kecil-kecilan. Seingat saya, pada usia 18 tahun saya mula serius menjual buah-buahan. Alhamdulillah, rezeki saya murah kerana selain menjual, saya menjadi pengedar.

"Sebagai pengedar, saya perlu hantar buah-buahan hingga ke luar Kelantan, menyebabkan saya terpaksa menyewa van dan lori. Semua itu membabitkan kos tinggi dan daripada situ saya melihat peluang dalam perniagaan bidang pengangkutan," katanya.

Menurut Che Ibrahim, ketika itu dia hanya ada sebuah lori yang layak dijadikan aset, namun itu tidak membantutkan cita-citanya.

"Saya nekad menghantar lori itu ke bengkel untuk diubah suai menjadi bas sekolah. Berbekalkan modal kira-kira RM8,000, lori itu kemudian diubahsuai menjadi bas sekolah yang mampu memuatkan 37 penumpang," katanya.

Bermula detik itu, beliau mula serius untuk terbabit dalam perniagaan pengangkutan dengan beralih dengan penjual buah kepada pemandu bas yang membawa murid sekolah di sekitar Kota Bharu.

Walaupun terpaksa berdepan cabaran untuk mendapatkan permit daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), beliau menganggap itu asam garam dalam perniagaan dan ia perlu ditempuh dengan sabar, terutama bagi yang tidak berpendidikan tinggi.

Selepas beberapa tahun mengusahakan bas sekolah, Che Ibrahim mula mengembangkan perniagaannya dengan turut menyediakan bas kilang selepas mendapati permintaan terhadap perkhidmatan itu tinggi di sekitar Kota Bharu.

"Berbekalkan modal yang saya kumpul hasil mengusahakan bas sekolah, saya beranikan diri membeli beberapa bas kilang. Alhamdulillah strategi saya mengena kerana perniagaan saya berjalan lancar sebagaimana dirancang.

"Sehingga 1992, saya ada 20 bas kilang dan 10 bas sekolah dengan jumlah pekerja kira-kira 30 orang. Sambutan pelanggan sungguh memberangsangkan, mungkin disebabkan ketika itu masih tidak banyak pengusaha bas kilang dan sekolah," katanya.

Lumrah orang berniaga, selagi ada peluang terhidang pasti dimanfaatkan dan itu dilakukan Che Ibrahim apabila melihat potensi untuk perniagaan bas sekolah dan bas kilang miliknya dikembangkan lagi dengan menyediakan perkhidmatan bas ekspres.

"Ketika itu kerajaan membuat tawaran untuk memberi bantuan kepada pengusaha yang berminat dalam perniagaan perkhidmatan bas ekspres. Saya segera memohon dan berdasarkan pengalaman yang ada, permohonan saya diterima.

"Bermula detik itu, wujudlah Konsortium Mutiara. Nama Mutiara saya pilih kerana ia saya harap akan sentiasa bersinar dan membawa rezeki kepada saya," katanya.

Che Ibrahim berkata, selepas menceburi pengangkutan bas ekspres, beliau terpaksa menghentikan bas sekolah dan kilang kerana ingin memberi tumpuan penuh kepada bidang perniagaan barunya yang lebih mencabar serta memerlukan komitmen tinggi.

Menurutnya, walaupun perniagaan bas ekspres memerlukan modal tinggi kerana sebuah bas berharga antara RM600,000 hingga RM800,000, ia mampu memberi keuntungan berpanjangan kerana pengangkutan sentiasa diperlukan semua lapisan masyarakat.

Kini, beliau mampu tersenyum puas apabila Konsortium E-Mutiara memiliki 60 bas, termasuk 10 bas dua tingkat dengan kekuatan pekerja seramai 231 orang. Setakat ini, bas ekspres Konsortium E-Mutiara menyediakan perjalanan kesemua destinasi seluruh negara, kecuali Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Walaupun berdepan kemunculan banyak syarikat bas yang baru, saya tidak menganggapnya cabaran, sebaliknya sentiasa berfikiran positif dengan sentiasa bekerja keras untuk memastikan perkhidmatan yang kami sediakan lebih baik berbanding pesaing," katanya.

Menjawab soalan apakah cabaran paling getir dihadapinya dalam perniagaan, Che Ibrahim berkata, perkara paling 'ditakutinya' ialah kenaikan harga bahan bakar serta kos alat ganti kenderaan yang boleh dikatakan berlaku setiap bulan.

"Dalam hal ini pengusaha perkhidmatan pengangkutan banyak bergantung kepada dasar bantuan disediakan kerajaan. Alhamdulillah, bantuan kerajaan seperti pemberian subsidi diesel banyak membantu syarikat saya," katanya.


Profil Usahawan Kreatif

Nama : Che Ibrahim Che Ismail

Jawatan : Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara

Lahir : 18 Julai 1955

Isteri : Naemah Yaacob, 30

Anak : Sebelas anak hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya iaitu Khahalilullah (28); Tamtini (27); Amalina (26); Khairul Azhar (25); Khairul Anam (23); Khairul Adni (21); Salsabila (17); Siti Nahwan (15); Mohd Atifuddin (13); Nurul Aufa (10) dan Mohd Anwar (8)

Pendidikan : Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa, Kelantan


Tip Usahawan Kreatif

Turun Ilmu Pada Anak
Dalam usaha memastikan legasi perniagaan diasaskan sejak 32 tahun lalu berterusan, Che Ibrahim kini menurunkan segala ilmu kepada tiga anak lelakinya iaitu Khahalilullah 28; Khairul Anam 23 dan Khairul Adni 21.

Beliau berkata, pada mulanya mereka tidak berminat kerana masing-masing mahu membentuk hala tuju sendiri, namun selepas diberi pendedahan, mereka turut jatuh cinta kepada dunia perniagaan perkhidmatan bas ekspres.

"Bukan senang mahu mengajak anak mengikut rentak dan keinginan kita, namun perkara itu terpaksa saya lakukan berikutan bimbang perniagaan hasil penat lelah sepanjang 32 tahun terkubur di tengah jalan tanpa penyambung.

"Biarpun pada mulanya mereka tiadak berminat, Alhamdulillah kini mereka menampakkan kemajuan dan boleh diharap," katanya.

Beliau berkata, kaedah digunakan untuk mendidik ilmu perniagaan secara lebih berkesan kepada anaknya ialah mendedahkan mereka dari peringkat bawah iaitu sebagai penjual tiket di kaunter dan menjaga bengkel.

"Hanya dengan cara tiu mereka dapat merasai situasi pekerja di peringkat bawah sebelum saya tukarkan ke jawatan lebih tinggi," katanya.

Che Ibrahim berkata, selepas ketiga-tiga anaknya lulus 'ujian' yang diberinya sejak tiga tahun lalu, kini masing-masing memegang jawatan lebih penting.

Menurutnya, Khahalilullah dilantik sebagai Pegawai Operasi, Khairul Anam sebagai Pengurus Cawangan Lembah Klang dan Khairul Adni sebagai Pegawai Teknikal.

"Saya kini lega kerana mereka bertiga mampu menggalas tanggungjawab diberi. Segala urusan berkaitan bidang masing-masing mampu diselesaikan dengan baik. Jika ada masalah besar, baru mereka rujuk kepada saya," katanya.

Bagaimanapun, untuk mencipta kejayaan perlu ada pengorbanan dan itu yang mereka alami sekarang kerana kesibukan tugas masing-masing menyebabkan mereka empat beranak sukar berjumpa, terutama Khairul Anam yang banyak masanya dihabiskan di Lembah Klang.

"Namun, kami sering berhubung melalui telefon. Jika berjumpa, kami memanfaatkan masa sebaik-baiknya dengan berbincang berkaitan hal keluarga dan perniagaan," kata Che Ibrahim.

Petikan Metro Ahad

Monalisa Private Wealth Advisor (Monalisa)

Mahadi Nekad Caburi Bidang Saham

Percaya atau tidak, tatkala rakan lain masih terkial-kial mencari pekerjaan dan 'memburu' kemewahan hidup, dia sudah bergelar jutawan muda, memiliki kereta Jaguar, S-Type dan menetap di sebuah kondominium mewah di Damansara Perdana, Petaling Jaya, ketika baru berusia 22 tahun.

Tidak setakat itu, dia yang kini berusia 25 tahun boleh katakan sekadar 'goyang kaki' menjana pendapatan tahunan RM500,000 sebagai Pengurus Agensi Pelaburan Saham Amanah menerusi syarikatnya, Monalisa Private Wealth Advisor (Monalisa), yang dibuka Februari lalu dan berpejabat di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan Jelutong, Pulau Pinang.

Itu tidak termasuk pendapatan restoran miliknya, Restoran Da' Bomb di Seremban, Negeri Sembilan dan butik pengantin Ita Collection, yang beroperasi di Bayan Baru, Pulau Pinang, selain turut meraih pendapatan melalui siri ceramah dan latihan pelaburan saham di bawah kendalian agensinya, Monalisa.

Benar seperti kata orang, tuah ayam nampak pada kakinya, nasib orang tiada siapa tahu. Itu gambaran tepat kepada Mahadi Badrul Zaman yang kini mengecapi kejayaan sebagai perunding kewangan unit saham amanah yang diceburinya sejak April 2004.

Pun begitu, tiada kejayaan dapat dinikmati dalam sekelip mata tanpa perlu bersusah payah, memiliki sikap berani dan pengorbanan.

Mengimbas pengalamannya, selepas menerima Diploma Sains Aktuari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2003, Mahadi membuat kejutan dalam keluarganya apabila memilih untuk bekerja sebagai perunding kewangan unit saham amanah di Southern Bank Berhad (SBB) yang kini dikenali sebagai Commercial International Merchant Bank (CIMB).

Tindakannya mendapat tentangan keluarga dan rakan kerana dianggap tidak menepati kelayakan pendidikan dimilikinya, tambah pula bidang itu (pelaburan saham amanah) kurang mendapat perhatian dan sambutan lagi.

Namun, Mahadi mempunyai pandangan berbeza dan memasang nekad meneruskan minat bekerjaya dalam bidang berkenaan. Dia juga percaya pekerjaan itu menjanjikan pendapatan lumayan.

"Segala-galanya bermula apabila melihat kejayaan rakan, Aida Nurlin, yang lebih dulu menceburi bidang ini ketika itu.

"Dalam usia muda (24 tahun ketika itu), dia mampu memiliki kereta dan kediaman mewah. Bagi saya, pencapaiannya 'luar biasa' kerana mampu hidup mewah pada usia seawal 20-an.

"Itu memberi rangsangan kepada saya. Saya percaya boleh berjaya seperti dia (Aida)," katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Mahadi berkata, pada awal kariernya sebagai perunding saham amanah, pelbagai dugaan dan cabaran dilalui ketika berusaha mendapat pelabur yang sanggup melaburkan wang mereka.

Malah, katanya, pada bulan pertama, dia gagal mendapatkan seorang pelanggan yang hendak berbuat demikian.

"Cabaran utama dalam kerjaya ini adalah mendapatkan pelanggan. Tambah pula ia membabitkan pelaburan wang yang bukan sedikit jumlahnya, ia mencecah jutaan ringgit.

"Tanpa pengalaman, sukar meyakinkan pelanggan bahawa pelaburan mereka pasti memberi pulangan setimpal. Namun, itu proses pembelajaran yang perlu ditempuhi sebagai perunding (unit saham amanah)," katanya.

Dengan hanya menunggang motosikal Honda EX5, Mahadi berulang alik sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam untuk mendapatkan pelanggan.

Katanya, sehingga bulan kedua dia masih gagal beroleh pelanggan, namun usahanya berbaloi pada bulan berikutnya apabila ada pelanggan mahu melabur dengannya membabitkan jumlah pelaburan RM100,000.

"Sejak mendapat pelanggan itu juga nasib saya terus berubah, tuah seolah-olah mengiringi saya kerana pelanggan datang tidak putus-putus. Selama lima bulan, saya mampu goyang kaki kerana pelaburan yang saya peroleh mencecah jutaan ringgit.

"Dengan pelaburan sebanyak itu, komisyen yang saya terima semakin konsisten. Setiap bulan saya beroleh pendapatan antara RM40,000 hingga RM50,000.

"Malah, pernah saya mendapat komisyen mencecah enam angka selama beberapa bulan. Ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan," katanya yang turut mengabadikan buku Jutawan Muda Dan Sifu.

Yang membanggakan, pencapaian 'luar biasa' yang diperoleh Mahadi turut mendapat pengiktirafan apabila dia menerima anugerah Top CEO (2004), Youngest Million Dollar Producer, Top Manager di Platinum 2 dan Pengurus Agensi Termuda di CIMB Wealth Advisor Berhad.

Menurut Mahadi, di sebalik kejayaannya, pendorong utama yang membuat dirinya cekal, tabah dan tidak pernah putus asa mengejar kejayaan adalah ibunya, Hamidah Fateh Mohammad 54, yang bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Katanya, walaupun dia sudah senang, ibunya masih 'bersemangat' bekerja sekalipun puas dipujuk supaya berhenti kerja.

"Saya mampu beri apa saja kepada ibu. Namun ibu beritahu saya, itu bukan alasan untuk dia berhenti kerja dan menghabiskan masa sekadar duduk di rumah.

"Ibu memang tidak pernah jemu dan sentiasa bersemangat dengan kerjayanya. Ia membuka mata saya dan ibu juga menjadi contoh terbaik untuk menjadi teladan kepada diri saya," katanya.

Mengenai kerjayanya, kini Mahadi menggiatkan usaha untuk membuka cawangan agensi syarikatnya di Johor dan mensasarkan pembukaan itu tahun depan.

Katanya, dia memilih untuk melebarkan sayap di tiga negeri dan bandar utama, iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor kerana ia berpotensi untuk mendapat pelabur selain faktor penduduk.

"Setakat ini saya mengendalikan seramai 250 perunding. Dalam masa sama, saya berusaha menambah perunding.

"Ini adalah peluang untuk berubah, tiada yang mustahil untuk mengecapi kejayaan asalkan ada kemahuan, di situ ada jalan.

Agensi yang saya buat ini adalah pengantara kepada sesiapa yang ingin berjaya berkongsi pengalaman dan bersedia membuka jalan mencapai impian orang lain," katanya.


Profil Usahawan Kreatif

Nama : Mahadi Badrul Zaman

Usia : 25 tahun

Lahir : 19 April 1983

Jawatan : Pengurus Agensi Pelaburan Saham Amanah, Monalisa Private Wealth Advisor

Pendidikan : Diploma Sains Aktuari, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Adik-beradik : Bongsu daripada dua beradik

Anugerah : Top CEO (2004), Youngest Million Dolar Producer, Top Manager di Platinium 2 dan Pengurus Agensi Termuda di CIMB Wealth Advisor Berhad


Tip Usahawan Kreatif

Utama Prinsip 'Berani Berubah'
Sejak berkecimpung dalam pelaburan saham amanah, bermula daripada agensi perunding, Commercial International Merchant Bank (CIMB) Wealth Advisor sehingga mampu membuka syarikat sendiri, Monalisa Private Wealth Advisor (Monalisa), Mahadi Badrul Zaman boleh berbangga kerana berkemampuan beroleh lebih 1,000 pelabur individu dan 30 pelabur korporat.

Namun, Mahadi berkata, dengan pencapaian membanggakan itu tidak bermakna dia berpuas hati dan hanya sekadar duduk diam menanti wang komisyen untuk menjana pendapatan daripada pelabur sedia ada.

Katanya, bagi perancangan masa depan, dia mensasarkan peningkatan lebih sekali ganda jumlah pelabur atau pelanggan di bawah kendalian syarikatnya seramai 2,500 pelabur individu dan 100 pelabur korporat menjelang 2009 hingga 2010.

"Untuk itu, saya merancang menambah bilangan perunding dalam syarikat. Ia penting bagi mendapatkan pelanggan yang berpotensi, sekali gus mampu meraih lebih banyak pelaburan dalam syarikat.

"Setakat ini Monalisa hanya mensasarkan 250 perunding, saya sasarkan penambahan seramai 120 orang, terutama apabila cawangan baru di Johor Bahru dibuka," katanya.

Menurut Mahadi, bagi merealisasikan hasratnya, dia berusaha melahirkan perunding berwibawa dan ada karisma dalam syarikatnya.

Katanya, ramai orang yang mahupun berniaga memasang impian untuk hidup senang dan mewah, tetapi tidak mengetahui jalan betul berbuat demikian.

"Melalui Monalisa, saya tidak menghadkan kriteria individu yang hendak menjadi perunding, amanah saham, asalkan ada kemahuan.

"Di sini (Monalisa), saya ada formula untuk merealisasikan impian itu tanpa perlu meninggalkan kerjaya atau perniagaan mereka," katanya.

Kata Mahadi, bagi melahrikan perunding yang dimaksudkan, dia menjalankan kursus, ceramah dan latihan secara intensif menerusi syarikatnya dengan kerjasama empat syarikat lain, iaitu Institut Da Vinci Genius, Pusat Kepimpinan JAG, Pusat Antarabangsa Lawrence Walter dan Akdemi Asian Master Sale.

"Dalam Monalisa, saya tekankan prinsip 'dare to transform' (berani berubah) sebagai motivasi kepada perunding baru yang ingin menerjah dunia pelaburan.

"Selain mencurah ilmu kepada perunding baru, saya ingin berkongsi rahsia mengenai pencapaian yang pernah saya peroleh," katanya.

Petikan Metro Ahad

Kumpulan Otai Franchise Sdn Bhd

Bangkit Dari Kegagalan


Modal yang ada hanya RM100 ketika beliau mahu memulakan perniagaan menjual burger. Berbekalkan wang sebanyak itu, Suhaimi Abas yang ketika itu berusia 20 tahun membeli bahan mentah dan apabila hasil jualannya mendapat keuntungan, wang berkenaan digunakan semula sebagai pusingan modal.

Tanpa modal besar, Suhaimi bernasib baik kerana tempat beliau mengambil bekalan burger cuma 150 meter dari gerai tempatnya berniaga.

Ini memudah dan menjimatkan kerana anak muda itu cuma perlu berjalan kaki untuk mendapatkan bekalan selain lokasi jualan yang strategik.

Selepas menempuh dua kegagalan daripada perniagaan sebelumnya, Suhaimi mendapat semangat baru apabila perniagaan burger yang diusahakannya mendapat sambutan. Dalam sehari, Suhaimi mampu menjual 100 hingga 150 burger.

Suhaimi berhijrah mengikut bapa saudaranya ke Kuala Lumpur selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan berniaga kacang rebus di Chow Kit.

Selepas itu beliau ingin berdikari dengan membuka gerai buah di pasar Chow Kit dengan rakan kongsi. Ia gagal disebabkan ketiadaan perjanjian, sistem dan kemahiran berniaga.

Tidak putus asa, Suhaimi kemudian membuka perniagaan menjual mainan kanak-kanak,juga diusahakan dengan rakan kongsi, tetapi turut menghadapi masalah sama menyebabkan ia ditutup.

"Tiga pengalaman berniaga iaitu membantu bapa saudara, jatuh bangun membuka gerai buah dan menjual mainan kanak-kanak mematangkan saya dalam perniagaan.

"Saya kemudian mengambil alih tapak perniagaan burger sepupu di simpang tiga Jalan Raja Bot, Chow Kit," katanya.

Untuk memulakan perniagaan burger, Suhaimi melakukan sendiri kerja kimpalan logam bagi mendirikan gerai. Kemahiran kerja kimpalan diperoleh daripada bapa saudaranya yang melakukan pelbagai pekerjaan kerana selain berniaga kacang rebus di Chow Kit, dia turut berniaga pasar malam, berniaga kain dan mengambil tempahan membina gerai.

Beliau yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Otai Francise Sdn Bhd berkata, ketika perniagaan mulai rancak, seorang rakan menawarkan menjual tapak gerai burger RM4,000. Suhaimi meminjam daripada bapanya untuk membeli tapak gerai burger ini, tetapi tiba-tiba rakan itu tidak jadi menjualnya.

Wang yang ada digunakan untuk membuka cawangan kedua di Taman Sri Gombak, Batu Caves. Gerai berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dan pendapatannya di situ purata RM17,000 hingga RM18,000 sebulan.

Bagaimanapun, perniagaan di situ kini kurang mendapat sambutan berikutan pemindahan tapak tidak jauh dari situ. Walaupun jarak dipindahkan tidak begitu jauh, tindakan itu ternyata memberi kesan besar kepada perniagaan.

Apapun, kumpulan syarikat Otai kini mempunyai 17 gerai sendiri yang diuruskan di bawah Otai Utama Sdn Bhd manakala Otai Francise Sdn Bhd menguruskan francais perniagaan burger yang mempunyai kira-kira 150 cawangan.

"Apa yang diterapkan kepada usahawan ialah model daripada Otai Utama. Francais boleh mencecah sehingga 10 cawangan dalam tempoh dua tahun," katanya.

Suhaimi berkata, perniagaan francais burger ini mempunyai sistem dan melalui pembelajaran dan praktikal, francaisi tidak menempuh jalan susah untuk membangunkan perniagaan ini.

"Hasrat saya ialah membudayakan ilmu perniagaan bertaraf francais kepada francaisi supaya mereka boleh menguasai sistem itu dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang. Sasaran saya ialah pada 2010, Otai mempunyai rangkaian restoran Otai," katanya.

Menurutnya, beliau menghadapi lima hingga enam kali jatuh dan bangun dalam perniagaan sepanjang 15 tahun membangunkan perniagaan.

Belaiu dianggap melakukan perkara di luar kemampuannya apabila menggajikan tiga pekerja mempunyai kelulusan ijazah dan diploma ketika cuma mempunyai empat gerai burger, sedangkan gaji mereka, termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mencecah RM7,000 sebulan.

"Saya dikatakan gila dan bodoh apabila bayaran kepada pembekal 'sangkut' kerana dengan hanya berkelulusan SPM, saya berani menggajikan pekerja yang ada kelulusan lebih tinggi daripada saya.

"Lima belas tahun dulu, berniaga gerai burger dipandang rendah oleh orang Melayu, malah ada yang melabel sebagai tempat menjual dadah dan ganja, tempat lepak anak muda serta bohsia dan bohjan. Waktu itu, orang berniaga burger sebagai kerja sampingan saja," katanya.

Cemuhan orang sekeliling terhadapnya tidak sedikitpun melunturkan semangat Suhaimi meneruskan perniagaan. Disebabkan perniagaan burger dimonopoli pemuda Melayu, Suhaimi menyimpan tekad untuk menjadikan orang ramai lebih menghormati perniagaan ini melalui perniagaan sistematik.

"Saya percaya perniagaan ini boleh berkembang kerana burger dikenali di seluruh dunia dan dimakan tidak kira waktu. Sebab itu saya ambil peluang menjadikannya perniagaan francais," katanya.

Otai atau singkatan bagi Organisasi Tempat Ambil Ilmu adalah perniagaan francais burger pertama di Malaysia. Dalam tempoh setahun sembilan menjadi francaisor, Otai berjaya melahirkan hampir 80 francaisi dan 15 daripada mereka adalah siswazah.

"Kini ada lebih 400 permohonan masih diproses dalam tempoh lima bulan dan ini menunjukkan perniagaan francais mula diterima oleh orang Melayu," katanya.

Menurutnya, bagi mengukuhkan perniagaan itu Otai mensasarkan menjalankan usaha sama dengan kilang pembekal burger pada penghujung 2009.

Katanya, pada awal perniagaan, tiada kemudahan pinjaman untuk Bumiputera yang menjalankan perniagaan burger. Berikutan itu Suhaimi berusaha menjadi francaisor dan kini kemudahan untuk membuka francais perniagaan itu ditawarkan.

Katanya, pada 2007 Majlis Amanah Rakyat (Mara) mula memberi pinjaman RM100,000 untuk Otai mengembangkan perniagaan. Perniagaan ini mendapat pengiktirafan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).

"Sebenarnya 15 tahun membangunkan perniagaan in adalah perjalanan yang sangat panjang dan memenatkan. Orang pelik bagaimana penjual burger boleh ada di tahap ini. Saya ingin menyedarkan orang Melayu mengenai benarnya pepatah 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'.

"Ibarat menanam sebiji benih dalam tanah, kalau kita berani tanam hasrat dan cita-cita apa kita hendak jadi, melalui doa dan usaha, Insya-Allah, kita akan mencapainya. Kalau Otai boleh berjaya dengna burger, tidak mustahil usahawan lain tidak boleh bangun seperti kami.

"Ketika usia 19 tahun saya bertanya diri sendiri mengapa orang Melayu gagal dalam perniagaan, tetapi pada usia 27 tahun baru saya temui jawapannya. Kita kena ada ilmu, kena belajar dan ada sifu, baru boleh berniaga," katanya.

Anak sulung 10 beradik itu berkata, sewaktu kecil bapanya, Abas Bakar, 63 sering berpesan kepadanya supaya menjaga adiknya dan sepupu.

"Bapa sering mengingatkan saya supaya bersedia, jika dia tak ada, saya boleh mengambil alih tanggungjawab membesarkan adik. Dia garang dan tegas. Jika kami melakukan kesalahan, dia belasah menggunakan tali pinggang dan ada adik yang curi duit waktu kecil, diikat pada pokok dan letak kerengga pada badannya sebagai hukuman," katanya.

Suhaimi berkata, beliau berterima kasih kerana didikan ibu bapanya menjadikan beliau kuat semangat menghadapi cabaran dalam perniagaan.

"Saya hidup semata-mata mahu membahagiakan hati ibu bapa saya. Itulah syurga manusia," katanya.

Ibunya, Hamidah Said 53, meninggal dunia pada 12 Oktober lalu selepas tiga minggu menghidap angin ahmar.


Profil Usahawan Kreatif

Nama : Suhaimi Abas

Umur : 35 tahun

Jawatan : Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulai Otai Franchise Sdn Bhd

Asal : Pantai Remis, Perak

Isteri : Zuhasmira Zulkapli

Anak : Izzat Iskandar (5) dan Izham Iskandar (3)


Tip Usahawan Kreatif

Sistem, Perancangan Jamin Kejayaan
Baginya, hanya usahawan boleh lahirkan usahawan. Perkara itu, katanya, diakui ramai dan beliau memberi tempoh dua tahun untuk seseorang itu menjadi hebat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Otai Francise Sdn Bhd, Suhaimi Abas, berkata selama ini beliau hanya melakukan apa yang beliau rasa ingin buat.

"Saya ada produk yang baik, tetapi tiada sistem. Kelemahan itu menjadi masalah kerana tidak dapat menguruskan perniagaan dengan baik apabila berdepan cabaran.

"Sepatutnya, apa yang kita lakukan perlu ada sistem dan perancangan baik. Selepas menyedari kelemahan itu, saya menjadi seorang yang gilakan ilmu dan sistem serta melantik penasihat bagi mengukuhkan perniagaan," katanya.

Menurutnya, ilmu yang ada ingin dikongsi bersama orang lain. Disebabkan itu, sebuah persatuan dianggotai 20 usahawan Bumiputera ditubuhkan diberi nama G Ten.

"Saya ingin kongsi pengalaman dan pengetahuan yang ada untuk menjadikan usahawan matang dan boleh menguasai perniagaannya sendiri.

"Dalam persatuan itu, kami sama-sama melahirkan idea dan bekerja sama supaya syarikat masing-masing boleh menangani masalah dihadapi, seterusnya menjadi mentor kepada usahawan lain," katanya.

Suhaimi berkata, penguasaan dalam sumber manusia, perakaunan dan pemasaran penting dan perlu berjalan seiring.

Apabila usahawan boleh menguasai ketiga-tiga perkara itu, dia boleh membangunkan perniagaan dengan sempurna dan tiada masalah walaupun ketika ingin menukar produk perniagaan kepada produk lain.

Otai banyak membangunkan usahawan muda dan dalam kebanyakan aktiviti persatuan, Suhaimi sering memperjuangkan ilmu dan sistem.

Sistem francais diperkenalkan Suhaimi dalam perniagaan burger menampakkan kejayaan dengan kelahiran banyak usahawan muda.

"Misalnya, seorang francaisi yang bersekolah sehingga tingkatan dua kini berusia 30 tahun, kini mempunyai 10 gerai burger cuma dalam tempoh setahun lima bulan berniaga. Dia kini bukan saja menumpukan perniagaan burger, malah turut mengambil tempahan kimpalan membuat gerai burger.

"Seorang lagi francaisi berusai 28 tahun yang juga seorang fomen juga kini mempunya 10 gerai dalam tempoh dua tahun menjalankan perniagaan ini," katanya.

Petikan Metro Ahad